- Iklan -
Berita

Pujut jadi kerusi ‘panas’ rebutan 5 calon PRN Sarawak

Kerusi Pujut kosong sejak Februari tahun lalu selepas penyandangnya dari DAP hilang kelayakan sebagai Adun kerana memiliki dua kerakyatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggota tentera membuang undi hari ini bagi pengundian awal PRN Sarawak.
Seorang anggota tentera membuang undi hari ini bagi pengundian awal PRN Sarawak.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut kosong sejak Februari tahun lepas apabila penyandangnya Dr Ting Tiong Choon daripada DAP hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Undangan Negeri kerana memiliki dua kerakyatan iaitu Australia dan Malaysia yang melanggar Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), kerusi “panas” itu menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon DAP, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Sejak berjaya merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional-Parti Bersatu Rakyat Sarawak (BN-SUPP) dalam PRN edisi ke-10 pada 2011 menerusi Fong Pau Teck, DAP terus menjadikan Pujut sebagai kubu kuat parti tersebut dengan mempertahankannya pada pilihan raya negeri yang lepas iaitu pada 2016.

Pada PRN12, parti itu menyandarkan harapan kepada Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong untuk terus memastikan kerusi Pujut yang “hilang” susulan keputusan mahkamah pada Februari lepas kembali ke dalam genggamannya.

Ling bukanlah nama asing bagi pemerhati politik Sarawak kerana ketika berusia 28 tahun, beliau mencipta kejutan pada 2011 apabila berjaya menumbangkan “nama besar” dalam politik Sarawak iaitu Timbalan Ketua Menteri Tan Sri George Chan Hong Nam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau.

Bagaimanapun, beliau gagal mempertahan kerusi Piasau apabila dikalahkan oleh calon BN-SUPP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada 2016.

“Demokrasi merupakan proses yang berterusan. Harapan saya, landskap politik di Sarawak lebih seimbang antara pembangkang dengan kerajaan sekali gus segala hal melibatkan kebajikan rakyat dapat diperjuang,” katanya kepada Bernama.

Ling dan DAP berdepan cabaran getir dalam usaha mempertahan kerusi Pujut pada pilihan raya negeri kali ini apabila GPS meletakkan satu “nama besar” yang amat dikenali dalam kalangan penduduk Bandaraya Miri sebagai calon.

Adam Yii Siew Sang, 65, yang menjadi datuk bandar Miri sejak 2016 dan pengerusi SUPP cawangan Pujut, telah diberi tanggungjawab untuk memecah dominasi dua penggal DAP di kerusi DUN itu.

Yii, dalam sidang media menerusi Facebook rasminya baru-baru ini, berkata penduduk di Pujut layak menikmati kualiti hidup lebih baik dan yakin pengundi di DUN itu lebih matang untuk membuat pilihan yang bijak.

“Ini bukan soal siapa saya tetapi ia mengenai nasib rakyat Pujut… tentang kebajikan, infrastruktur, kemudahan asas dan persekitaran kejiranan yang perlu diutamakan untuk semua menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

PSB pula menampilkan graduan diploma komunikasi perniagaan Bruce Chai Khim Cheong, 48, yang mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai kaunselor di Majlis Bandaraya Miri sekitar 2015, sebagai calonnya.

Antara perkara utama yang akan diperjuang oleh calon PSB itu sekiranya beliau dipilih oleh pengundi Pujut pada 18 Dis ini ialah menambah peluang pekerjaan bagi mengelakkan penghijrahan keluar golongan belia ke kawasan luar untuk mencari kerja.

“Memang DUN Pujut berada di kawasan bandar. Semua kemudahan ada namun masalah besarnya ialah rakyat sukar untuk mencari rezeki. Polisi menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi perlu diberikan perhatian serius,” katanya.

Dua lagi calon ialah daripada PBK dan Aspirasi yang masing-masing diwakili oleh penasihat undang-undang Leslie Ting Siong Ngiap dan pengasas Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) Chin Fen Siong.

DUN Pujut mempunyai seramai 27,567 pemilih berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian bagi PRN12 manakala pengundian awal bagi anggota pasukan keselamatan berlangsung hari ini.