- Iklan -
Berita

Pindaan Perlembagaan perkasa Sabah, Sarawak mungkin satukan ahli Parlimen buat kali kedua

RUU itu adalah bagi menyelarikan Perlembagaan dengan Perjanjian Malaysia 1963 selepas Undi 18 berjaya diluluskan secara sebulat suara pada 2019.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur. Kerajaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi meluluskan pindaan Perlembagaan berkait Sabah dan Sarawak hari ini. Gambar: Bernama
Suasana sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur. Kerajaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi meluluskan pindaan Perlembagaan berkait Sabah dan Sarawak hari ini. Gambar: Bernama

Satu bahagian penting perubahan terhadap Perlembagaan yang akan diundi di Dewan Rakyat hari ini mungkin bakal menyaksikan ahli-ahli Parlimen rentas parti untuk bersatu meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi memperkukuhkan status Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia, menjadikannya kesatuan kali kedua ahli Parimen selepas pindaan Undi 18 dua tahun lalu.

RUU itu mengandungi beberapa cadangan pindaan terhadap empat fasal dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menyelarikannya dengan peruntukan yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1962 (MA63).

Sewaktu kali pertama diadakan pengundian ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), ia gagal mendapat sokongan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain ahli-ahli Parlimen dari Umno dan PAS yang berada di kerusi pembangkang.

Beberapa pengkritik ketika pengundian kali pertama berkata pindaan yang dibentangkan kerajaan ketika itu hanyalah kosmetik, dan tidak secara jelas menyatakan tuntutan utama bagi hak-hak ekonomi dan wilayah Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, bagi pembentangan kali ini, ahli Parlimen GPS berikrar untuk menyokong rang undang-undang itu berikutan beberapa pengubahsuaian yang telah dibuat terhadapnya.

Satu sumber dalaman PKR berkata ahli Parlimen dari PH juga dijangka akan menyokong RUU itu walaupun mereka gagal mendapatkan sokongan ketika pengundian dibuat sewaktu gabungan itu menduduki Putrajaya.

“Dengan situasi PRN Sarawak yang semakin hampir dan sentimen untuk wujudkan kesetaraan lebih besar dijadikan tumpuan isu ketika berkempen, PH akan bunuh diri sendiri kalau mereka menentang atau mengambil sikap berkecuali,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

RUU yang dideraf selepas beberapa sesi perbincangan antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu antara lain akan memutuskan Sabah dan Sarawak disebut sebagai “Negeri-Negeri Borneo”, mengembalikan pindaan kontroversi pada 1976 yang meletakkan dua negeri itu sama taraf dengan negeri-negeri semenanjung lain dalam senarai mengikut turutan huruf.

Ketika MA63 ditandatangani pada 1963, persekutuan dipisahkan kepada negeri-negeri Tanah Melayu, negeri-negeri Borneo dan Singapura.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, Singapura keluar daripada persekutuan yang termeterai itu.

Memasukkan ‘Hari Malaysia’ dalam Perlembagaan

Satu lagi pindaan yang dibentangkan hari ini adalah berhubung takrif persekutuan, ia bagi menunjukkan kemasukan Sabah dan Sarawak adalah peluasan bagi persekutuan Tanah Melayu yang pada asalnya dibuat pada 1957, selain turut menyatakan Singapura keluar dari Malaysia pada 1965.

Dalam bacaan kali kedua RUU itu hari ini, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perubahan itu adalah selari dengan tuntutan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

“Cadangan ini juga akan memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan ketiga pula adalah bagi memasukkan takrifan hari Malaysia yang jatuh pada 16 September 1963, memberikan satu penyataan dalam Perlembagaan yang memberikan status yang sama seperti Hari Merdeka yang disambut secara tahunan sebagai hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos.

“Ia juga adalah konsisten dengan tafsiran ‘Hari Merdeka’ yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan,” kata Wan Junaidi.

Pindaan keempat adalah bagi Perkara 161A berhubung takrifan “bumiputera”, mengeluarkan senarai kaum yang secara spesifik dimasukkan dalam Perlembagaan bagi membenarkan Sabah dan Sarawak memutuskan siapa yang layak dipanggil sebagai bumiputera.

Langkah itu juga akan memberikan kesan besar dalam ekonomi dan politik kerana Perlembagaan menetapkan mereka yang dianggap sebagai “bumiputera” Sabah dan Sarawak memiliki “kedudukan istimewa” di samping Melayu, termasuk mendapat kuota dalam perkhidmatan awam dan pendidikan selain kemudahan kerajaan yang lain..

Pindaan Perlembagaan itu akan memerlukan dua pertiga sokongan majoriti bagi diluluskan.

Awal hari ini, pemimpin parti politik menggesa ahli-ahli Parlimen mereka untuk hadir di Dewan Rakyat sebelum pukul 4 petang bagi memastikan sokongan dua pertiga terhadap RUU tersebut.

Jika keseluruhan 220 ahli Parlimen mengundi untuk meluluskan RUU tersebut hari ini, ia akan menjadi undi sebulat suara kali kedua yang meluluskan pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat.

Pada Julai 2019, pindaan Perlembagaan dibentangkan perdana menteri ketika Dr Mahathir Mohamad bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, ia disokong oleh kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang dengan kehadiran 211 orang ahli Parlimen.