- Iklan -
Berita

Menteri bentang RUU pinda Perlembagaan bagi kali kedua di Dewan Rakyat

Pindaan tersebut melibatkan empat fasal dalam Perlembagaan, termasuk mengembalikan perkataan 'Negeri-Negeri Tanah Melayu' dan 'Negeri-Negeri Borneo'.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama

Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum dibahaskan ahli Parlimen bagi sebelum undian dibuat bagi mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata, pindaan tersebut adalah berkaitan dengan komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), membabitkan empat fasal dalam Perlembagaan Persekutuan.

Empat fasal tersebut ialah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, tafsiran baru Hari Malaysia di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

RUU itu dibentangkan bagi mengembalikan perkataan “Negeri-Negeri Melayu” serta “Negeri-Negeri Borneo” dalam Persekutuan, selepas ia dikeluarkan menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976.

“Pelaksanaan Rang Undang-Undang ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Menurut Wan Junaidi, RUU itu juga akan memberikan tafsiran baru kepada Hari Malaysia dengan menjelaskan penggunaannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui RUU ini adalah penting bagi membentuk asas yang kukuh dalam sebuah Keluarga Malaysia,” katanya ketika membacakan pindaan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Sabah, Sarawak dan majlis khas bersetuju dengan pindaan RUU itu yang dibaca kali pertama pada November lalu.

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah membentangkan bacaan kali kedua pindaan tersebut namun gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

RUU itu akan dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat petang ini.