- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat lulus RUU perkasa Sabah, Sarawak dengan majoriti dua pertiga

Pindaan yang memperkasakan Sabah dan Sarawak itu menerima 200 daripada 220 undi, melepasi majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
199 dari 220 ahli  Parlimen menyokong RUU pindaan Perlembagaan bagi menyelarikannya dengan MA63 hari ini.  Gambar: Bernama
199 dari 220 ahli Parlimen menyokong RUU pindaan Perlembagaan bagi menyelarikannya dengan MA63 hari ini. Gambar: Bernama

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga setelah bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan RUU itu menerima 199 dari 220 undi setelah selesai perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, apabila ahli Parlimen merentasi blok politik menyokong pindaan tersebut setelah hampir enam jam berbahas.

Tiada ahli Parlimen yang membangkang manakala 21 ahli Parlimen tidak hadir pada sesi hari ini.

Pengundian dibuat selepas pembentangan RUU dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kelemahan besar ialah Perjanjian Malaysia 63 (MA63) tidak dimasukkan dalam Perlembagaan itu sendiri semenjak penubuhan Malaysia. Dalam masa yang sama, kita lihat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, semua perjanjian antara Negeri-Negeri Selat dimasukkan dalam Perjanjian 1948. Perjanjian 1957 pula merujuk kepada Perjanjian 1948.

“Malang sekali apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, pindaan Perlembagaan tidak memasukkan Perjanjian Malaysia,” kata Wan Junaidi ketika sesi penggulungan RUU hari ini,” katanya.

Peristiwa pengundian dengan keputusan majoriti dua pertiga ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan hari ini adalah kali kedua dalam sejarah Dewan Rakyat selepas pengundian RUU Undi 18 pada 2019.

Antara perkara yang dipinda ialah tafsiran Persekutuan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang kini mengambil kira Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian Singapura.

“Cadangan pindaan tafsiran ini adalah bagi memberikan definisi yang betul dan tepat mengenai istilah “Persekutuan” dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ketika menjawab soalan Chong Chien Jen (PH-Stampin), Wan Junaidi berkata kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak boleh menggunakan artikel 80 bagi menurunkan kuasa dalam isu membabitkan aspek kesihatan dan pendidikan tanpa perlu meminda Perlembagaan.

Dalam pada itu, katanya walaupun terdapat tuntutan agar Sabah dan Sarawak mempunyai status sama rata dengan Persekutuan Tanah Melayu, namun katanya perkara itu tidak diperuntukkan dalam MA63 mahupun Perlembagaan Persekutuan, Akta Malaysia dan undang-undang yang berkaitan.

Isu-isu membabitkan status dan hak Sabah dan Sarawak menjadi isu yang diperjuangkan kedua-dua belah blok politik. Pakatan Harapan pada tahun 2019 ingin meminda Perlembagaan untuk tujuan sama namun tidak menerima sokongan dua pertiga.

“Pindaan yang dibawa pada tahun 2019 tidak dipersetujui disebabkan oleh dua sebab utama iaitu perkataan-perkataan “Pursuant to Malaysian Agreement 1963” tidak dimasukan di dalam pindaan Perkara 1(2) dan tiada pindaan kepada Perkara 160 (2) di mana tafsiran “Persekutuan” yang mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 dimasukkan,” katanya.