- Iklan -
Berita

Britain sahkan 1 kematian akibat varian Omicron

Menurut perdana menterinya, 40% kes di Britain adalah akibat varian Omicron.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Britain menghadapi impak Covid-19 yang teruk dengan catatan kes kematian melebihi 140,000. Gambar: AP
Britain menghadapi impak Covid-19 yang teruk dengan catatan kes kematian melebihi 140,000. Gambar: AP

Britain mengesahkan satu kes kematian akibat varian Omicron ketika negara itu sedang meningkatkan usaha vaksinasi penggalak bagi membendung penularan wabak tersebut.

Dalam satu lawatan ke pusat vaksinasi barat London, Perdana Menteri Boris Johnson berkata sekitar 40% kes di ibu negara itu adalah akibat varian Omicron selain hospital turut menerima kemasukan pesakit Covid-19 secara mendadak .

“Malangnya, satu daripada pesakit itu telah disahkan meninggal dunia akibat Omicron,” katanya kepada pemberita sehari selepas beliau mengingatkan negara itu sedang berdepan “gelombang besar” jangkitan.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) juga turut mengesahkan kematian tersebut.

“Nampaknya, ia adalah kes pertama kematian akibat varian Omicron.”

Namun ECDC berkata banyak kes di seluruh dunia bukan dikesan dengan secara penjujukan genom, disebabkan itu ketika ini “adalah mustahil untuk mengetahui sama ada kematian (di Britain ini) sebagai kes pertama kematian akibat Omicron”.

Menurutnya, Afrika Selatan yang pertama kali mengesan mutasi virus itu juga tidak mengumumkan sebarang kematian berkait varian baru tersebut.

Britain adalah negara yang paling teruk menghadapi impak Covid-19 dengan catatan 146,000 kematian akibat virus itu sejak tahun lalu.

Pada Ahad, negara itu juga telah mengaktifkan penggera ekoran kenaikan mendadak jangkitan Covid-19.

Johnson berkata pentadbirannya juga turut mempertimbangkan untuk mengambil langkah-langkah darurat bagi mengelakkan kesesakan di hospital.

Kesemua individu dewasa negara itu kini boleh mendapatkan vaksin dos penggalak sehingga akhir Disember.