Friday, January 21, 2022

Status MySejahtera masih jingga, bicara kes rasuah Rosmah ditangguh lagi

Hakim berkata beliau akan mengambil kira cadangan Gopal Sri Ram untuk prosiding perbicaraan secara hibrid dijalankan memastikan kesinambungan perbicaraan tanpa gangguan lagi.

Other News

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditangguhkan buat kali ketiga setelah status MySejahteranya masih menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan perbicaraan kes itu selepas timbalan pendakwa raya (TPR) kanan Gopal Sri Ram memaklumkan mengenai status MySejahtera Rosmah yang masih jingga.

“Saya dimaklumkan oleh rakan saya bahawa anak guam mereka masih tidak dapat hadir ke mahkamah kerana statusnya (MySejahtera jingga). Saya berada dalam situasi yang sangat sukar kerana saya sudah mencadangkan kepada mahkamah mengenai kemungkinan mengadakan perbicaraan secara hibrid.

“Saya juga mencadangkan bahawa kami akan memudahkan Rosmah memberikan keterangan dari rumahnya, dengan kehadiran dua timbalan pendakwa raya dan peguam bela boleh menemaninya dengan pegawai mahkamah turut hadir,” kata Sri Ram.

Peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah mengesahkan status Rosmah MySejahtera masih tidak berubah sehingga hari ini dan beliau memohon maaf atas perkara itu.

“Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 23 Disember dan saya memberi jaminan anak guam saya akan dapat hadir. Saya lebih suka prosiding dijalankan seperti biasa dengan semua pihak hadir secara fizikal di mahkamah,” kata Jagjit.

Bagaimanapun, hakim berkata beliau akan mengambil kira cadangan Sri Ram untuk prosiding perbicaraan secara hibrid bagi memastikan kesinambungan perbicaraan tanpa gangguan lagi.

“Saya akan meneliti peruntukan berkaitan dan jika ia boleh dilakukan, saya akan memaklumkan kepada semua pihak terlebih dahulu dan itu dengan andaian status tertuduh kekal kecuali biru. Jika statusnya kembali biru, semuanya baik dan tidak perlu menyusahkan diri kita untuk sebarang peruntukan lain.

“Saya perlu membuat ketetapan kerana kita tidak boleh berterusan seperti ini, perbicaraan perlu berakhir,” kata hakim.

Mahkamah kemudian  menetapkan dua tarikh perbicaraan tambahan iaitu 23, 24 Disember dan enam hari lagi, pada 10, 11, 12, 13 dan 14 Januari serta 4 Februari tahun depan bagi perbicaraan itu.

Pada 8 dan 10 Disember, hakim menangguhkan perbicaraan kes Rosmah kerana prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah hanya membenarkan orang yang berstatus biru MySejahtera boleh memasuki bangunan dan tidak membenarkan mereka yang mempunyai kontak rapat atau kasual (dengan kes Covid-19) masuk ke dalam premis.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles