- Iklan -
Berita

Silap besar jika terus bersama Malaysia, kata parti sokong pemisahan Sarawak

Parti Bumi Kenyalang berkata hubungan dengan Putrajaya tidak 'berfungsi' dalam menjaga kepentingan negeri itu.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Parti Bumi Kenyalang dikibarkan sempena kempen PRN Sarawak yang diadakan pada 18 Disember ini.
Bendera Parti Bumi Kenyalang dikibarkan sempena kempen PRN Sarawak yang diadakan pada 18 Disember ini.

Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan hari ini berkata keputusan Sarawak menyertai Malaysia adalah satu kesilapan, mengatakan hubungan dengan Putrajaya “tidak berfungsi” dalam menjaga kepentingan negeri itu.

“PBK mahu jelaskan pendirian kami yang mahu kemerdekaan Sarawak,” katanya pada sidang media di Kuching.

“Silap besar untuk terus bersama dengan persekutuan Malaysia.”

Beliau berkata Perjanjian Malaysia (MA) yang ditandatangani pada 1963 juga turut terbatal dan tidak sah kerana tidak mengikut undang-undang antarabangsa.

“Hak dan kuasa Sarawak dan Sabah di bawah MA63 masih perlu ‘dirunding’ semula selepas beberapa tahun ia dilanggar,” katanya.

“Bahkan rundingan-rundingan MA63 oleh kerajaan sekarang, baik negeri dan persekutuan – sehingga kini, kita masih tidak tahu apa yang dirundingkan.”

Voon turut mempersoalkan ketelusan Suruhanjaya Cobbold, sebuah suruhanjaya kajian yang ditubuhkan pada 1962 bagi memastikan sama ada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong langkah untuk menyertai persekutuan tersebut.

“Dari banyak sudut undang-undang, pembentukan Malaysia adalah terbatal dan tidak sah,” katanya.

“Suruhanjaya Cobbold dan MA63 tidak dilakukan secara baik.”

Kemerdekaan Sarawak adalah antara misi utama PBK yang ketika ini turut bertanding dalam PRN buat kali pertama.

PBK meletakkan 73 calon dari 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Voon turut bertanding di kerusi Batu Lintang di mana beliau akan berdepan pertembungan lima penjuru.

Beliau pernah menyandang kerusi itu sebagai Adun DAP bagi penggal 2006-2011.

Manifesto lain yang turut disenaraikan ke dalam “Passport PBK to Prosperity, Freedom and Independence” termasuk peruntukan untuk pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam selain subsidi deposit bagi pembeli rumah pertama.