- Iklan -
Berita

Apakah Najib lakukan kesalahan selepas tular gambar main golf?

Seorang peguam berkata bekas perdana menteri itu mungkin bersalah pada pandangan umum sama seperti beliau dilihat bermain golf bersama Presiden AS Barack Obama pada 2014 ketika negara dilanda banjir.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak bersama ahli perniagaan ternama Sam Goi Seng Hui di padang golf Singapura (kiri), dan gambar lain menunjukkan beliau bermain golf bersama Barack Obama pada 2014 ketika beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir.
Najib Razak bersama ahli perniagaan ternama Sam Goi Seng Hui di padang golf Singapura (kiri), dan gambar lain menunjukkan beliau bermain golf bersama Barack Obama pada 2014 ketika beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir.

Peguam dan pakar undang-undang berbeza pandangan sama ada Najib Razak melakukan kesalahan sewaktu dilihat bermain golf di Singapura selepas mahkamah memberikan pelepasan untuk beliau ke negara itu bagi menziarahi anak perempuan dan cucunya.

Bekas perdana menteri mempertahankan dirinya terhadap kritikan di media sosial yang menuduh beliau mengelirukan mahkamah, selepas sebuah gambar beliau bermain golf bersama seorang ahli perniagaan ternama Singapura tular.

“Tak kan saya bersama cucu 24 jam setiap hari selama tempoh enam hari saya berada di Singapura?” katanya dalam sebuah hantaran Facebook, mengulas ulasan berhubung gambar tularnya bersama ahli perniagaan Sam Goi Seng Hui.

Najib mendakwa beliau bertemu Goi kerana ahli perniagaan itu berminat untuk melabur di Malaysia, sambil menambah menggunakan “masa peribadi” bagi urusan pelaburan “biarpun saya bukan PM lagi dan bukan menteri?”.

Namun seorang peguam berpangkalan di Kuala Lumpur berkata Najib tidak perlu menjelaskan bagaimana beliau menghabiskan masanya dengan pelepasan yang diberikan oleh mahkamah itu.

“Melainkan jika ada satu syarat ketat mengenai apa yang perlu beliau buat. Namun dalam kes ini, passport beliau dilepaskan untuk membolehkan beliau ke Singapura.

“Secara teknikalnya, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, walaupun perkara itu membuatkan persepsi terhadapnya nampak buruk,” kata seorang peguam kanan.

Seorang lagi peguam berkata dari sudut pandangan undang-undang, gambar beliau bermain golf di Singapura itu tiada bezanya dengan gambar di mana Najib dilihat bermain golf bersama bekas presiden AS Barack Obama pada 2014, sewaktu Malaysia dilanda banjir besar yang mengakibatkan lebih 200,000 kehilangan tempat tinggal.

“Dua kali nasibnya malang dalam mahkamah umum, namun dari sudut undang-undang, dia mungkin tidak hadapi masalah disebabkan perkara itu,” katanya.

Pada Oktober, Mahkamah Tinggi memberikan pelepasan pasport secara sementara kepada Najib bagi membolehkan beliau menyertai isterinya, Rosmah Mansor untuk menziarahi anak perempuan mereka dan anak keduanya yang baru dilahirkan.

Rosmah yang turut dilarang untuk melakukan perjalanan ke luar negara juga diberikan kebenaran serupa.

Pada Julai tahun lalu, Najib disabitkan tujuh pertuduhan jenayah termasuk pecah amanah, pengubahaan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, sabitan itu juga turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Ikat jamin Najib mungkin tergugat

Bagaimanapun, seorang peguam lantang Haniff Khatri Abdullah berkata Najib perlu hadapi akibat daripada perbuatannya itu, mengatakan ia juga turut bergantung dengan syarat yang dibuat oleh beliau ketika memohon melakukan perjalanan ke Singapura.

Beliau berkata Najib perlu memperincikan jadualnya di Singapura dalam afidavit yang diserahkan kepada mahkamah ketika memohon pelepasan pasportnya, termasuk sebarang pertemuan perniagaan seperti yang didakwanya.

“Kalau alasan nak main golf dan melakukan urusan lain macam jumpa peniaga itu diletakkan dalam afidavit tersebut maka ia bukan kesalahan. Tapi fikirlah secara logik, takkan mahkamah nak benarkan pelepasan pasport untuk urusan sebegini?”

Haniff berkata sekiranya Najib memang melanggar sebarang syarat perjalanannya, pendakwaan boleh meminta penjelasan daripada beliau mengapa ikat jaminnya tidak perlu ditarik balik.

Beliau turut berkata, pilihan lain yang boleh dibuat pihak pendakwaan adalah memohon kepada mahkamah supaya nilai ikat jaminnya digandakan, dari RM2 juta ketika ini kepada RM4 juta.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, seorang bekas timbalan pendakwa raya berkata tindakan Najib itu menunjukkan beliau tidak menghormati mahkamah.

“Beliau mengelirukan mahkamah untuk membolehkannya ke Singapura menziarahi anak perempuannya. Ini mungkin boleh dilihat sebagai menghina mahkamah,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

MalaysiaNow turut menghubungi ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan ulusannya.

Azzman Abdul Jamal turut menyumbang dalam laporan ini.