- Iklan -
Berita

Ali Biju kotakan janji, berkempen bantu calon GPS di Krian

Ali berkata, walaupun janggal beliau harus melihat kerangka lebih besar politik di Sarawak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Calon bebas bagi kerusi DUN Krian, Ali Biju bersama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik (duduk,kanan) ketika berkempen secara bersemuka bersama penduduk kawasan pedalaman rumah panjang sempena PRN Sarawak. Gambar: Bernama
Calon bebas bagi kerusi DUN Krian, Ali Biju bersama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik (duduk,kanan) ketika berkempen secara bersemuka bersama penduduk kawasan pedalaman rumah panjang sempena PRN Sarawak. Gambar: Bernama

Walaupun agak janggal untuk seorang calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 berkempen bagi calon lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama namun hakikatnya, itulah yang berlaku di kerusi Krian.

Ali Biju, penyandang kerusi itu yang sudah mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas, mengotakan janjinya membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik dengan mula berkempen di empat rumah panjang semalam dan meminta penduduk jangan memangkah atau mengundi beliau pada 18 Disember ini.

Ali hadir bersama Friday dan Pengerusi Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian di  Rumah Panjang Chunggat, Munggu Ubah, yang merupakan kubu kuat beliau dan terletak kira-kira 40 minit dari Pekan Saratok, dan menyampaikan “amanat” selama hampir 40 minit dalam bahasa Iban kepada penduduk.

Ali, yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak, mengakhiri amanat itu dengan meminta penyokong beliau di Krian menyokong calon GPS dengan berkata : “Kita mesti memenangkan calon GPS, dia tidak boleh kalah.”

Rata-rata penghuni rumah panjang itu memahami tujuan Ali bahkan dilihat bersedia menerima keputusan wakil rakyat mereka menarik diri daripada pertandingan empat penjuru di DUN Krian.

Ali turut ditanya tidakkah beliau berasa janggal berkempen untuk calon lain di kubu kuatnya.

“Perasaan janggal itu ada, tapi kita perlu melihat kerangka besar untuk Krian, Saratok dan Malaysia. Memang rasa janggal mula-mula dan penyokong pun susah terima, daripada yakin dengan kemenangan dan tiba-tiba mengundur diri (daripada bertanding), memang rasa janggal.

“Namun kita perlu atasi kejanggalan ini, saya tidak ada perasaan apa-apa pun kecuali untuk memenangkan calon GPS. Itu sasaran kita, kalau kita menang kita semua gembira dan lupakan episod kejanggalan ini,” katanya yang kelihatan tenang dan bersungguh-sungguh semasa berkempen.

Isnin lepas, beliau membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti tersebut tidak bertanding pada PRN kali ini sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

Bagaimanapun, Ali akhirnya mengumumkan menarik diri atas alasan keputusan itu adalah bagi memelihara muafakat dan memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS sekali gus menyaksikan beberapa pemimpin gabungan politik tersebut meminta beliau menerangkan keadaan sebenar kepada pengundi.

Walaupun nama Ali secara rasminya masih tersenarai di kertas undi, pertandingan sebenar bagi merebut kerusi DUN Krian kini membabitkan Friday, Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Danny Kuan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Friday pula amat menghargai tindakan timbalan menteri tenaga dan sumber asli itu yang membantunya berkempen terutama di kawasan kubu kuat Ali sendiri justeru memberi indikasi kepada keikhlasan beliau untuk membantu calon GPS tersebut menang dalam PRN ini.

“Hari ini kami sama-sama memberi penjelasan apa yang berlaku dua tiga hari lepas untuk kita mendapatkan keyakinan daripada penyokong beliau dan penyokong saya supaya dapat kita membuahkan hasil untuk sokong GPS pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Jaziri Alkaf pula berkata tindakan Ali menunjukkan kematangan politik yang menyaksikan GPS dan Bersatu bergabung tenaga bagi memastikan kemenangan gabungan politik diterajui Abang Johari Openg itu.