- Iklan -
Berita

Penduduk pedalaman Sarawak cekal teruskan kehidupan di sebalik Covid

Walau akses internet kurang, tiada bekalan elektrik dan air di Kampung Sapit, namun penduduknya melakukan sedaya upaya untuk dapatkan keperluan asas tersebut.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Orang kampung memikul barangan asas ke rumah mereka di kawasan berbukit Kampung Sapit.
Orang kampung memikul barangan asas ke rumah mereka di kawasan berbukit Kampung Sapit.

Seperti ratusan ribu pelajar lain di seluruh negara, Adam Sinjan terpaksa melakukan peralihan dari pembelajaran fizikal kepada kelas dalam talian ketika Covid-19 melanda.

Setiap kali dia perlu menghantar kerja rumah dalam talian atau melakukan mana-mana tugasan lain yang diberi oleh guru, dia akan mengambil gambar maklumat yang diberikan itu dan kemudian berjalan keluar menuju ke kawasan bukit berhampiran.

Di sana, dia akan berdiri dan menunggu telefonnya mengesan isyarat talian.

Ia adalah satu perkara yang memakan masa dan membosankan, namun pencarian Adam bagi mendapatkan liputan talian telefon mudah alihnya adalah perlu kerana sambungan talian di Kampung Sapit, Sarawak itu adalah tidak teratur.

Walaupun guru dan pelajar sedaya upaya berusaha untuk cuba mendapatkan talian yang stabil, namun sepanjang tempoh pandemik, perhubungan lancar antara mereka bagi pembelajaran sekolah sukar dilakukan.

Orang kampung memikul barangan asas ke rumah mereka di kawasan berbukit Kampung Sapit.

Ramai rakan sekelas Adam tinggal di asrama sekolahnya sepanjang tahun akademik.

Namun, apabila arahan dibuat supaya sekolah beralih kepada pembelajaran jarak jauh, remaja berusia 16 tahun yang tinggal di kampung itu tertanya-tanya bagaimana dia boleh berdepan dengan kesukaran itu.

Kampung Sapit adalah sebuah perkampungan Bidayuh yang terletak di kaki bukit Ulu Padawan berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan.

Ia merupakan salah satu daripada banyak penempatan terpencil negeri itu sehingga menyebabkan pembelajaran jarak jauh menjadi masalah kepada pelajar dan guru sepanjang tempoh pandemik.

Selama beberapa tahun, penambahbaikan kecil dibuat dari segi akses jalan raya. Namun penduduk di kampung itu masih hidup tanpa bekalan elektrik atau air.

Sebahagian besar penduduknya bergantung pada set generator diesel bagi menghidupkan peralatan rumah walaupun ada juga menggunakan sistem kuasa solar.

Penduduk kampung berehat di anjung rumah mereka di Kampung Sapit, yang terletak di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan.

Bagi mendapatkan air pula, mereka perlu bergantung kepada sumber dari gunung atau membuat penyambungan melalui kampung lain.

Kampung ini hanya boleh diakses melalui jalan sempit dan berliku di kawasan berbukit. Kemudahan asas sukar diperolehi kerana jarak jauh untuk mendapatkannya.

Paulina, ibu kepada enam anak, menggunakan tenaga solar di rumahnya. Namun dia menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik yang berterusan.

“Semasa musim hujan, kuasa solar tidak dapat penuhi keperluan kami. Bekalan elektrik sangat terhad di sini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun ketika hari baik, bekalan tenaga masih tidak cukup untuk membuat peti sejuk di rumahnya berfungsi.

Perkara mudah seperti mengecas telefon pula memerlukan masa yang ditetapkan.

“Terlalu sukar, terutama bagi pelajar sekolah,” kata Paulina.

Namun, bagi Adam, segala kesukaran dan cabaran menunggu liputan talian di atas bukit tidak cukup untuk melemahkan cita-citanya.

Walaupun rumahnya tidak mempunyai bekalan elektrik, dia reda dengan apa yang dimilikinya.

Pada waktu malam, dia mengulang kaji pelajaran diterangi cahaya lilin. Kadang-kadang dia menggunakan lampu minyak tanah atau lampu menggunakan bateri.

“Namun ia sukar dilakukan kerana jika saya membaca buku, saya perlu menulis nota,” katanya.

“Sebab itu saya lebih suka ulang kaji pelajaran di sekolah.”

Walaupun Adam bertekad untuk melakukan semua perkara yang boleh demi pelajarannya, teman-temannya yang lain dilihat kurang bermotivasi.

Suasana pilihan raya turut meriah dengan kibaran bendera parti politik di Kampung Sapit, Sarawak.

Akibat tiada sambungan internet, ditambah pula berdepan masalah kekurangan bekalan elektrik menyebabkan ramai pelajar di kampung itu hilang minat untuk belajar.

Walaupun mereka berjaya hadiri kelas dalam talian, namun keadaan yang dihadapi mereka itu menyebabkan ramai keciciran pelajaran.

Samak Willie dan isterinya melakukan semua perkara yang mereka mampu bagi memastikan ketiga-tiga anak mereka mendapat pendidikan yang baik walaupun terpaksa bekerja di ladang.

Namun hal tersebut tidak mudah untuk dilakukan, bahkan keadaan mereka menjadi lebih buruk akibat wabak yang menutup sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial sejak hampir dua tahun lalu.

“Petani kecil seperti kami perlu berhati-hati dalam membuat perbelanjaan kerana Covid-19 menyebabkan kami perlu membeli barangan seperti pembersih tangan dan pelitup muka,” kata Samak.

Perbelanjaan bagi sanitasi keluarga itu adalah satu lagi keperluan yang perlu memakan belanja besar, namun mereka cuba sedaya-upaya untuk menyesuaikan perbelanjaan bagi tujuan itu.

“Saya hanya perlu pastikan anak-anak saya kembali ke sekolah,” tambah Samak.

Kampung Sapit terletak dalam kawasan Mambong, satu daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) 18 Disember ini.

Ketika ditanya mengenai PRN, Samak berkata beliau berharap mana-mana calon yang menang dapat mengotakan janji untuk terus membangunkan kampung itu.

“Saya dapat lihat beberapa penambahbaikan,” katanya.

“Kami dapat manfaat daripada pembinaan jalan masuk.

“Sebelum ia dibina, kami terpaksa jalan kaki kira-kira lapan jam, melintasi beberapa jambatan buluh, hanya untuk beli gula di kedai terdekat.”