- Iklan -
Berita

Tiada jaminan ‘pasti menang’ bagi mana-mana calon PRN Sarawak, kata presiden PDP

Tiong berharap pengundi akan memilih calon yang telah membuktikan mampu membawa perubahan di tempat mereka berkhidmat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas membawa bendera Gabungan Parti Sarawak untuk dipacakkan di sekitar pusat bandar Kuching, Sarawak sempena PRN yang akan diadakan 18 Disember ini.
Seorang petugas membawa bendera Gabungan Parti Sarawak untuk dipacakkan di sekitar pusat bandar Kuching, Sarawak sempena PRN yang akan diadakan 18 Disember ini.

Tiada jaminan “pasti menang” untuk mana-mana calon waima ahli politik yang amat berpengalaman sekalipun apabila bertanding dalam pilihan raya, kata calon Gabungan Politik Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong Tiong King Sing.

Meskipun bertanding buat pertama kali di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, Tiong yang juga presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), dilihat mampu meraih kemenangan di DUN tersebut berbekalkan pengalaman dan sejarahnya yang panjang bergelumang dalam kancah politik.

“Namun hakikatnya, tidak wujud jaminan ‘pasti menang’ di dunia ini. Kita mesti terus berkhidmat kepada rakyat dengan rendah hati dan ikhlas,” menurutnya di laman Facebook beliau semalam.

Undi penduduk akan berpecah dalam persaingan lapan penjuru di DUN Dudong namun Tiong berkata beliau sudah menjangkakan perkara itu.

Katanya apa yang penting ialah kekerapan beliau melibatkan diri dan bergaul dengan penduduk di bahagian Sibu itu selain mendengar serta mengambil maklum pendapat dan perkara yang menjadi kebimbangan mereka.

Beliau berkata politik bukan sekadar melaungkan slogan atau meraih sokongan melalui penipuan.

“Dalam politik, saya akan bersikap terus-terang dengan anda. Jika saya boleh melakukannya, saya akan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

“Jika tidak, adalah tidak wajar bagi saya menjanjikan bulan dan bintang kepada anda tetapi pada akhirnya, tidak membuahkan sebarang hasil,” katanya.

Duta khas perdana menteri ke China bertaraf menteri itu berkata calon mesti bersifat realistik dan membantu rakyat melihat visi serta hala tuju kerajaan dengan lebih jelas demi pembangunan masa depan selain membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Adalah sia-sia untuk merangka pelan yang gah secara tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu menyantuni penduduk Dudong dan menyelesaikan isu setempat dengan mengutamakan keperluan paling mendesak seperti menambah baik infrastruktur dan tebatan banjir.

“Selepas itu, teruskan mengoptimum apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen Bintulu dan duta khas ke China, Ting berkata beliau bukan sesiapa tanpa pasukan yang boleh dipercayai kerana tidak mampu melakukan semua perkara sendirian.

“Anda boleh bertanya kepada penduduk di Bintulu sama ada saya tidak menghiraukan mereka selepas dilantik sebagai duta khas. Saya mungkin tersasar dalam beberapa perkara tetapi ini adalah biasa bagi semua orang.

“Menerusi pelbagai saluran, saya telah melakukan yang terbaik untuk mencari penyelesaian bagi isu yang dibawa ke perhatian saya,” katanya.

Ting juga berharap pengundi akan memilih calon secara rasional yang telah membuktikan bahawa mereka mampu membawa perubahan ke tempat mereka berkhidmat.

“Jika mereka layak mendapat kepercayaan anda, berikan mereka peluang. Pilih ahli Dewan Undangan Negeri yang benar-benar layak,” katanya.

Turut bertanding bagi merebut kerusi DUN Dudong ialah Paul Ling daripada DAP, Engga Unchat (Bebas), Fadhil Mohd Isa (Bebas), Julius Enchana daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Josephine Lau (Aspirasi), Wong Hie Ping daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Jane Lau daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).