- Iklan -
Berita

Status MySejahtera masih jingga, bicara kes rasuah Rosmah ditangguh lagi

Cadangan TPR untuk hakim meneruskan perbicaraan secara hibrid ditolak kerana tidak mahu menjejaskan proses kes pada peringkat ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditangguhkan lagi kerana status MySejahteranya masih menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan perbicaraan hari ini selepas peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memaklumkan mahkamah bahawa status MySejahtera anak guamnnya masih jingga.

“Untuk makluman Yang Arif, anak guam saya hadir hari ini di perkarangan mahkamah. Beliau berada di dalam kereta sekarang. Status MySejahteranya telah disahkan oleh pendaftar mahkamah,” kata peguam itu.

Menjawab perkara itu, timbalan pendakwa raya (TPR) kanan Gopal Sri Ram mencadangkan kepada Zaini agar menjalankan perbicaraan secara hibrid, iaitu Rosmah boleh terus memberi keterangan dari rumah atau pejabat peguamnya.

“Saya percaya kita boleh meneruskan prosiding ini secara maya dan kita (pendakwaan) akan mempunyai TPR yang menyelia dan mereka (pembelaan) boleh meminta peguam hadir,” kata Sri Ram.

Bagaimanapun, hakim berkata beliau mahu lebih berhati-hati pada peringkat perbicaraan ini.

“Saya telah berfikir tentang itu dan saya telah meneliti statut yang berkaitan, nampaknya tidak ada sebarang peruntukan dan saya ingin lebih berhati-hati.

“Kita tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya kerana fikir ia (perbicaraan hibrid) okey pada peringkat ini,” kata hakim.

Mahkamah kemudian menetapkan tiga tarikh tambahan untuk perbicaraan iaitu pada 13, 23, 24 Disember dan enam hari lagi pada 10, 11, 12, 13 dan 14 Januari serta 4 Februari tahun depan.

Pada 8 Disember, hakim yang sama telah menangguhkan perbicaraan Rosmah atas alasan prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah hanya membenarkan orang yang berstatus “biru” MySejahtera yang boleh memasuki bangunan dan tidak membenarkan mereka yang mempunyai kontak rapat atau kontak kasual (dengan individu positif Covid-19 ) ke dalam premis.

Rosmah yang menyambut hari lahirnya yang ke-70 hari ini menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.