- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan anggap kisah derma Arab kepada Najib umpama dongeng

Menurut Mahkamah Rayuan, hujahan pembelaan Najib itu tidak ada kredibiliti, malah bercanggah, dan ditolak oleh keterangan berdokumen.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak mengenai RM42 juta dalam akaun peribadinya yang didakwa sebagai wang derma Arab adalah dongengan seumpama Hikayat Seribu Satu Malam, menurut Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat, hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil berkata kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.

“Kisah ini malah lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam, bukan hanya tidak ada kredibiliti, malah dongeng ini bercanggah, dan ditolak oleh keterangan berdokumen,” katanya.

Karim yang bersidang bersama-sama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa tidak ada bukti langsung yang menunjukkan RM42 juta itu datangnya daripada, atau mungkin datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, malah tidak ada asas yang munasabah bagi perayu untuk mempercayainya.

“Dana ini datang dari SRC International Sdn Bhd, dan ia telah dibuktikan. Perayu (Najib) mendakwa bahawa beliau mengandaikan dana yang masuk ke dalam akaunnya itu adalah derma daripada keluarga Diraja Arab.

“Bagi menyokongnya, rujukan dibuat kepada beberapa surat bertulisan Arab yang dikatakan ditulis oleh Putera Arab Saudi Abdulaziz Al-Saud bagi pihak Raja Arab Saudi.

“Bagaimanapun penulisnya tidak dipanggil, dan ketulenan surat-surat ini tidak dibuktikan dalam perbicaraan ini. Kandungan surat-surat ini adalah keterangan dengar cakap yang tidak diterima masuk,” kata hakim itu.

Berhubung dua siaran akhbar oleh peguam negara pada 2016 Mohamed Apandi Ali yang memutuskan bahawa Najib tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah berkaitan SRC International, serta dananya, di samping kes derma RM2.6 billion; hakim itu berkata ia tidak bernilai, sehinggakan walaupun selepas dua siaran akhbar berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih terus menyiasat sumber dana yang dikatakan dari Arab Saudi itu bagi memastikan sekiranya RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perayu adalah derma.

“Pegawai SPRM pergi ke Arab Saudi untuk menyiasat perkara itu, namun gagal mendapatkan sebarang pengesahan daripada pihak yang dikatakan penderma Arab, dalam bentuk bukti yang boleh diterima.

“Oleh itu siaran akhbar Apandi itu tidak boleh diterima untuk membebaskan Najib daripada kesalahan, dan ia juga tidak boleh membuktikan pendakwaan salah. Pandangan Apandi yang dibuat pada persidangan media itu, adalah mengenai hal ehwal negara sehingga 26 Januari 2016, semasa siasatan sedang berjalan.

“Sudah tentu kenyataan pramatang itu tidak boleh mengikat peguam negara selepasnya daripada menggunakan kuasa-kuasa pendakwaannya apabila bukti-bukti tambahan telah dikumpul,” katanya.

Hakim itu berkata Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk menyiasat aliran dana yang masuk ke dalam akaunnya, sebaliknya telah dilihat seolah-olah bergantung kepada apa yang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Lo katakan kepada beliau, mengenai sumber dana, itu saja.

“Pada masa itu beliau adalah perdana menteri dan mempunyai setiap peluang termasuk saluran rasmi kerajaan untuk membuat pertanyaan dan mengesahkan sekiranya dana itu sememangnya benar-benar datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi. Perayu tidak mengambil sebarang langkah sekalipun bagi mengesahkan kebenaran sumber seperi yang dimaklumkan kepadanya oleh Jho Low,” katanya.

Semalam panel itu sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International

Mereka membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.