- Iklan -
Berita

GPS dakwa DAP, PH bawa politik hasut kaum-agama dari semenanjung ke Sarawak

Pemimpin GPS Fadillah Yusof berkata propaganda PH kali ini ialah kononnya GPS menjejaskan keharmonian budaya dan agama di Sarawak apabila berada dalam kerajaan persekutuan bersama BN dan PAS.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas pilihan raya memacakkan bendera Gabungan Parti Sarawak di pusat bandar Kuching sempena PRN Sarawak.
Seorang petugas pilihan raya memacakkan bendera Gabungan Parti Sarawak di pusat bandar Kuching sempena PRN Sarawak.

Kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan persekutuan bertujuan mewujudkan kestabilan politik negara, di samping memelihara serta menjamin hak dan pembangunan Sarawak, kata ketua whipnya Fadillah Yusof.

Menteri kanan kerja raya itu berkata perkara inilah yang tidak dapat dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa mereka menerajui Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan sebelum ini.

“Apabila tiba pilihan raya, DAP dan Pakatan Harapan akan membawa bersama mereka politik menghasut kaum-agama dari semenanjung ke Sarawak, tiada bezanya dengan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Propaganda mereka (PH) kali ini ialah GPS (kononnya) menjejaskan keharmonian berbilang budaya, agama di Sarawak apabila berada dalam kerajaan persekutuan bersama BN dan PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya propaganda itu menafikan sama sekali rekod cemerlang GPS dalam mengekalkan keharmonian kaum-agama di Sarawak sejak beberapa dekad lepas, sehingga Sarawak diperakui secara meluas sebagai wilayah paling harmoni dan bertoleransi di Malaysia.

Fadillah berkata rakyat Sarawak tidak akan pernah lupa bagaimana PH berusaha untuk menangguhkan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, termasuk membatalkan pembangunan fasa 2 lebuh raya itu, di samping menafikan dana RM1 bilion untuk membaiki sekolah-sekolah di Sarawak.

Beliau berkata PH juga telah memungkiri janji untuk memberikan 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak, sehingga memaksa kerajaan GPS mengenakan cukai jualan negeri (SST) ke atas Petronas.

Beliau berkata selain daripada kemajuan dan pembangunan, pembabitan GPS dalam Kerajaan Persekutuan juga telah memelihara harmoni dan toleransi keagamaan bagi Sarawak.

“Saya yakin rakyat Sarawak sudah jemu dan boleh melihat dengan jelas taktik lama yang mengaitkan perbezaan kaum-agama yang dibawa mereka setiap tiba Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, dan pasti akan menolak mereka pada PRN ini nanti.

“GPS percaya bahawa orang ramai tidak akan dipengaruhi oleh taktik menimbulkan keraguan serta prasangka terhadap pendirian kerajaan, sebaliknya akan terus berdiri teguh melindungi perpaduan kaum dan agama di Sarawak,” katanya.

Sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar akan membuat pilihan pihak mana yang akan menerajui kerajaan negeri menerusi PRN Sarawak pada 18 Disember ini.