- Iklan -
Berita

Ali Biju perlu beri penerangan supaya pengundi sokong GPS, kata Awang Tengah

Timbalan ketua menteri itu berkata Ali dan penyokongnya perlu memberi sokongan penuh kepada calon GPS Friday Belik pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera GPS dikibarkan pengusaha bot di Sarawak. PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember depan mempertandingkan 82 kerusi DUN.
Bendera GPS dikibarkan pengusaha bot di Sarawak. PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember depan mempertandingkan 82 kerusi DUN.

Naib Pengerusi Bersatu Sarawak Ali Biju, yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian semalam, perlu menerangkan kepada pengundi di kawasan itu supaya menyokong calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hasan berkata Ali dan penyokongnya perlu memberi sokongan penuh kepada calon GPS Friday Belik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

“Saya harap dia (Ali) akan bekerja bersungguh-sungguh dan menerangkan kepada penyokongnya supaya mereka memberi sokongan kepada calon GPS.

“Dia sudah menyatakan secara terbuka (tindakan menarik diri) walaupun namanya tetap tercatat dalam kertas undi dan ini seharusnya menjadi tanggungjawab dia untuk menyatakan serta menerangkan kepada pengundi di kawasan itu,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Sama Jaya di sini hari ini.

Ali, yang juga timbalan menteri tenaga dan sumber asli, ketika mengumumkan menarik diri daripada bertanding di DUN Krian dan memberi sokongan penuh kepada calon GPS, berkata keputusan itu adalah bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS.