Friday, January 21, 2022

Kes rasuah libat penjawat awam di Sabah turun 87%, kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata penurunan ketara itu memperlihatkan tahap kesedaran terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab memerangi jenayah tersebut semakin meningkat.

Other News

Kes rasuah melibatkan penjawat awam di Sabah menurun 87% dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini berikutan usaha bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan negeri membanteras gejala itu.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata penurunan ketara itu memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab bersama dalam memerangi jenayah tersebut semakin meningkat.

Statistik SPRM menunjukkan sehingga Ogos tahun ini hanya enam kertas siasatan dibuka berbanding sembilan kes pada tahun lepas, selain 11 kes (2019) dan 47 kes (2018).

“Hal ini turut mencerminkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri di Menara Kinabalu hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah Zulkapli Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Rosmadi Sulai dan Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan Sabah telah mengambil langkah mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) bagi memastikan tahap integriti tinggi dalam kalangan pejawat awam sekali gus menangani gejala tersebut.

“Saya menyeru semua kementerian di Sabah agar memberi komitmen padu dalam mewujudkan OACP,” katanya sambil menambah, bagi syarikat milik kerajaan negeri, pelaksanaan pelan itu merupakan antara inisiatif mempersiap organisasi komersial kerajaan untuk memiliki tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Beliau berkata sembilan daripada 11 kementerian di negeri itu telah melaksanakan OACP masing-masing, kerana selain untuk memantapkan lagi tadbir urus serta integriti, pelan tersebut juga dilihat dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya percaya jabatan dan agensi kerajaan Sabah memberi komitmen tinggi sekali gus melestarikan integriti secara menyeluruh khususnya kepada warga perkhidmatan awam, untuk bersama melakukan perubahan dengan menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan memberi rasuah satu kesalahan serius,” katanya.

Hajiji turut menggesa masyarakat terus memberi sokongan serta kerjasama dengan melaporkan kesalahan seperti salah guna kuasa dan rasuah kepada SPRM.

“Mereka yang memberi maklumat penting kepada SPRM akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles