- Iklan -
Berita

Jangkitan semula Covid lebih mudah dengan penularan Omicron, kata WHO

Meskipun Omicron didapati kurang bahaya berbanding varian sebelum ini, ia tetap boleh menyebabkan lebih ramai orang sakit dan sistem kesihatan mungkin terjejas.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
WHO mengingatkan orang ramai supaya tidak lalai dalam menjaga langkah pembendungan Covid-19 selepas muncul varian baru Omicron. Gambar: Reuters
WHO mengingatkan orang ramai supaya tidak lalai dalam menjaga langkah pembendungan Covid-19 selepas muncul varian baru Omicron. Gambar: Reuters

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata data awal menunjukkan varian Omicron berkemungkinan lebih mudah menjangkiti semula mereka yang pernah dijangkiti virus itu ataupun sudah divaksin berbanding varian sebelumnya namun membawa penyakit lebih ringan.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata data diperoleh dari Afrika Selatan menunjukkan peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron.

“Terdapat juga beberapa bukti menunjukkan Omicron menyebabkan penyakit lebih ringan berbanding Delta,” katanya kepada pemberita, semalam.

Bagaimanapun, Tedros menegaskan, lebih banyak data diperlukan sebelum kesimpulan kukuh dapat dirumus.

Justeru, katanya, semua negara digesa meningkatkan langkah pengawasan bagi membantu memberi gambaran lebih jelas mengenai cara Omicron menular.

Walaupun varian itu didapati menyebabkan penyakit kurang teruk buat masa ini, Tedros memberi amaran supaya orang ramai tidak cuai dan lalai terhadap ancaman virus berkenaan.

“Sebarang perasaan berpuas hati (dengan perkembangan itu) pada masa ini boleh memberikan rosiko nyawa terkorban,” katanya lagi

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan berkata data setakat ini menunjukkan Omicron mencatat kadar kebolehjangkitan tinggi, malah berkemungkinan lebih tinggi daripada Delta.

“Itu bukan bermakna virus itu tidak boleh dihentikan.

“Namun ia bermaksud varian ini lebih mudah merebak, justeru kita perlu menggandakan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitannya bagi melindungi diri dan seterusnya melindungi orang lain,” katanya.

Menurut beliau lagi, meskipun Omicron didapati kurang bahaya berbanding varian sebelum ini, ia tetap boleh menyebabkan lebih ramai orang sakit dan sistem kesihatan terjejas dengan beban kerja berlebihan jika virus terbabit mampu menular lebih pantas.

Sementara itu, pakar WHO menekankan kepentingan vaksinasi dengan menjelaskan biarpun sesetengah data menunjukkan vaksin sedia ada didapati kurang berkesan terhadap Omicron, ia dijangka masih berupaya memberi perlindungan signifikan untuk mengelakkan daripada penyakit lebih teruk.

Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan, menegur reaksi daripada hasil kajian awal yang membayangkan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech berkemungkinan menurun terhadap varian baru itu.

Beliau menjelaskan, kajian dijalankan setakat ini adalah kecil, dan pengurangan “aktiviti peneutralan” antibodi juga jelas berbeza antara kajian-kajian lain.

“Mereka juga hanya melihat kepada peneutralan antibodi, sedangkan kita tahu sistem imun adalah jauh lebih kompleks daripada itu.

“Justeru, saya berpendapat masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa pengurangan aktiviti peneutralan ini akan menyebabkan penurunan signifikan dalam keberkesanan vaksin. Kita belum tahu akan perkara itu.”