Friday, January 21, 2022

MB Pahang pertahan tindakan penguatkuasaan terhadap kebun haram Musang King

Menurut Wan Rosdy, operasi itu bukan bertujuan mahu menganiayai mana-mana pihak termasuk pekebun, sebaliknya sebahagian daripada langkah pemuliharaan alam sekitar.

Other News

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mempertahankan tindakan kerajaan negeri melaksanakan operasi membanteras penerokaan haram, termasuk memusnahkan kebun durian Musang King yang dibuka di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Beliau menegaskan operasi itu bukan bertujuan mahu menganiayai mana-mana pihak termasuk pekebun, sebaliknya sebahagian daripada langkah pemuliharaan alam sekitar yang menjadi sebahagian daripada objektif utama kerajaan negeri, yang dari tahun ke tahun turut menambah keluasan HSK.

“Sekarang kita sangat serius dalam isu penerokaan tanah haram, kerana ia menimbulkan persepsi negatif kepada negeri… bila kita keluar seperti ke Kuala Lumpur, kita dengar orang bercakap jika nak tanam durian secara haram pergi ke Pahang, curi pasir dan melombong haram pun ke Pahang.

“Durian yang ditanam juga adalah dalam kawasan HSK, yang memang termaktub dalam undang-undang tidak boleh ditanam durian. Jika kita hendak tunggu sehingga habis musim, bila? kerana durian ditanam berfasa-fasa. Baru mengutip hasil di sini, di sebelah sana mula berbunga,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa mencelah perbahasan Chow Yu Hui (PH-Tras) yang membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2022) 2021, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berbuat demikian apabila Chow membangkitkan operasi memusnahkan 15,000 pokok durian dalam tempoh sembilan hari sekitar Julai lepas, semasa pokok sedang berbuah yang disifatkan seperti tidak prihatin kepada kehilangan pendapatan yang akan dialami pekebun terutamanya dalam pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Wan Rosdy menegaskan operasi itu bukan menganiaya pekebun kerana mereka telah meneroka tanah itu secara haram selama 20 tahun tanpa membayar cukai kepada kerajaan negeri, selain “pertanian” itu bukan lagi untuk mencari makan, namun telah menjadi perniagaan kepada pihak terlibat.

“Tanah terlibat ialah tanah haram, tidak kiralah sudah diusahakan satu, dua atau 20 tahun. Bila kita buat penguatkuasaan, maklum balas yang diterima ialah ramai menyokong. Sepatutnya kena puji kerajaan kerana berani ambil tindakan kepada tanah haram, bukan bantah penguatkuasaan,” katanya.

Chow kemudiannya menjelaskan bahawa beliau juga bersetuju dengan langkah menjaga alam sekitar, namun berharap kerajaan negeri boleh berbincang mencari penyelesaian menang-menang dengan pekebun terlibat, seperti meminta mereka mengosongkan pokok di tepi kawasan tadahan air atau sungai selain mewujudkan zon penampan.

Pekebun terlibat, menurut Chow juga telah beberapa kali memohon geran atau lesen namun semuanya ditolak, tetapi ia menunjukkan pihak berkuasa mempunyai pengetahuan mengenai pembukaan tanah di situ dan sewajarnya tindakan penguatkuasaan dilakukan pada peringkat awal, dan bukannya berpuluh tahun kemudian.

Setelah saling berbalas hampir 10 minit, Wan Rosdy berkata hal itu tidak perlu lagi dipanjangkan kerana ada isu berkaitan penerokaan tanah bagi kebun durian Musang King masih dalam proses Mahkamah Tinggi, ekoran permohonan yang difailkan sebahagian pekebun.

Sementara itu, Lee Chean Chung (PH-Semambu) mencadangkan supaya laporan dan perkembangan Pahang Corporation (Pahang Corp) yang ditubuhkan pada 21 Mac 2019 bagi memantau semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, dimaklumkan secara tahunan di persidangan DUN untuk aspek ketelusan dan profesionalisme.

“Pahang Corp tidak diperbadankan sebagai badan berkanun, maka ia tidak diwajibkan mengemukakan laporan ke DUN. Disebabkan wakil rakyat kedua-dua pihak tidak menerima laporan pencapaiannya, ia seperti kotak hitam yang tidak dapat dipantau walaupun ia umpama ibu kepada GLC lain di Pahang,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles