- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak rayuan kes SRC Najib dengan sebulat suara

Hakim berkata tindakan Najib berhubung pinjaman RM4 bilion kepada SRC International tidak menguntungkan sebaliknya memalukan negara.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Najib Razak dilihat berkumpul di Mahkamah Rayuan menunggu keputusan rayuan bekas perdana menteri yang berdepan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
Penyokong Najib Razak dilihat berkumpul di Mahkamah Rayuan menunggu keputusan rayuan bekas perdana menteri yang berdepan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya bagi beberapa pertuduhan melibatkan kira-kira RM42 juta dana SRC International, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah bagi tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menyampaikan penghakiman secara sebulat suara hari ini.

Karim bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin turut berkata tindakan Najib berhubung dana RM42 juta SRC International bukan sesuatu tindakan demi kepentingan negara, sebaliknya memalukan negara.

“Pemohon menyatakan semua tindakan beliau untuk SRC adalah untuk kepentingan nasional. Pemohon menggunakan alasan daripada bekas peguam negara, Apandi Ali, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Zulkifli Ahmad dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar.

“Keputusan hakim perbicaraan tepat apabila menyatakan bahawa pendapat mereka tidak boleh menggantikan bukti,” katanya.

Mahkamah Rayuan turut bersetuju dengan penghakiman Nazlan bahawa ketika Najib menjadi perdana menteri, beliau mempunyai kepentingan peribadi sewaktu meluluskan pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada

Karim berkata, bukti menunjukkan dana RM42 juta sememangnya milik SRC dan dipindahkan ke beberapa akaun bertujuan untuk mengaburkan aliran dana dan menyukarkan pengesanan, sebelum masuk ke akaun Najib.

Berhubung penghujahan Najib mengenai derma dari Arab Saudi, Karim berkata tiada pengesahan didapati dalam surat-surat yang dikemukakan Najib dan alasan derma tidak boleh dipertahankan.

Beliau berkata jika ia benar-benar derma dari Arab Saudi, maka tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu didepositkan ke akaun SRC, yang merupakan entiti milik penuh kementerian kewangan.

Karim juga menyatakan mahkamah bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Tinggi bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.

“Perayu juga tidak pernah membangkitkan sebarang aduan mengenai wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.”

Sesi pendengaran rayuan dibuat secara atas talian menerusi aplikasi Zoom. Najib yang menghadiri sesi menerusi aplikasi itu dari rumahnya kelihatan tenang namun sugul ketika mendengar keputusan rayuan dibacakan.

Beliau yang dilihat memakai sut hitam dengan tali leher berwarna perak berbelang turut mengambil nota dari pembacaan hakim bagi kes rayuannya.

Keputusan hari ini menyebabkan Najib tiada pilihan selain merayu di Mahkamah Persekutuan dalam usaha terakhirnya untuk mengelak daripada hukuman penjara dan denda berjumlah ratusan juta ringgit.

Najib yang disabitkan bersalah pada Julai tahun lalu, pada asalnya – dijatuhi hukuman 72 tahun penjara; yang terdiri dari hukuman 10 tahun penjara bagi setiap enam pertuduhan berkaitan CBT dan pengubahan wang haram dan 12 tahun lagi bagi kesalahan salah guna kuasa.

Beliau turut dikenakan denda RM210 juta atau lima kali ganda jumlah wang yang terlibat.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyampaikan keputusan tersebut menggunakan budi bicaranya memerintahkan supaya hukuman tersebut dijalankan secara serentak.

Panel hakim Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan najib untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuannya.

Dalam pada itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan telah membuat permohonan kepada hakim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Karim membenarkan penangguhan hukuman selepas mendengar permohonan tersebut.

Peguam Farhan yang membacakan permohonan tersebut memberikan hujahan bahawa bekas perdana menteri itu masih bertugas sebagai ahli Parlimen Pekan dan perlu melaksanakan tanggungjawab beliau.