Saturday, January 22, 2022

Keputusan rayuan bersihkan nama hakim Mahkamah Tinggi, kata pasukan pendakwaan

Panel tiga hakim bersetuju dengan hakim perbicaraan menunjukkan tiada bukti disorokkan pihak pendakwaan. 

Other News

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan penghakiman berhubung kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak membersihkan nama hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. 

Katanya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bersetuju dengan cara Nazlan memutuskan penghakiman dan sabitan hukuman. 

“Kami gembira pandangan pihak pendakwa raya dibuktikan benar dan tiada motif lain seperti yang dinyatakan pihak pembelaan bahawa kami menyorokkan bukti,” katanya selepas keputusan rayuan Najib dibacakan di Putrajaya hari ini. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Abdul Karim Abdul Jalil bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin sebulat suara mengekalkan sabitan hukuman terhadap ahli Parlimen Pekan itu. 

Sebelum ini Najib mengemukakan notis usul bagi memasukkan bukti baru untuk kes tersebut.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyatakan, bukti baru itu membabitkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara yang menerima sejumlah wang  dipercayai dana 1MDB daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

Permohonan Najib untuk memasukkan bukti baru itu ditolak hakim Mahkamah Rayuan semalam. 

Dalam pada itu, Sithambaram berkata keputusan tersebut menunjukkan tiada permainan politik di sebalik keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib.  

“Tiada politik di sini. Yang ada hanya bukti kukuh. Kami mentafsir dan mengemukakan fakta secara munasabah.

“Dua mahkamah, empat hakim melihat dan mendapati bukti terhadap Najib ada justifikasi,” katanya. 

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh kesalahan membabitkan wang RM42 juta milik SRC.

Beliau berjaya menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles