Friday, January 21, 2022

Bekas peguam kanan Sarawak bakal ketuai pasukan khas siasat dakwaan Tommy Thomas

Pasukan khas itu akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan dari tarikh lantikan.

Other News

Kabinet melantik bekas peguam besar Sarawak Fong Joo Chung sebagai ketua pasukan khas yang akan dibentuk bagi menyiasat beberapa dakwaan yang dibuat oleh bekas peguam negara Tommy Thomas dalam memoirnya bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas itu bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan termasuk beberapa dakwaan berhubung isu pelantikan hakim dan campur tangan badan eksekutif dalam sistem kehakiman.

“Pasukan petugas khas ini ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan-dakwaan yang ditulis dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”.

“Dalam masa yang sama, pihak polis juga telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Ia juga akan akan dianggotai lima anggota utama terdiri daripada bekas pegawai kanan undang-undang dan jabatan kerajaan termasuk Hashim Paijan (bekas setiausaha kerajaan Sabah), Junaidah Kamaruddin (bekas ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), Jagjit Singh (bekas Hakim dan peguam kanan persekutuan), Shaharudin Ali ( peguam) dan Balaguru Karupiah (peguam).

Pasukan itu juga akan turut dianggotai wakil beberapa agensi termasuk Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan bertindak sebagai urus setia bagi Jawatankuasa tersebut,” katanya.

Pasukan khas itu diumumkan pada Oktober lalu oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di mana beliau berkata ia akan menyiasat dakwaan Thomas berhubung salah guna kuasa dalam lantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan pelanggaran sumpah rahsia.

Menurut Junaidi, pasukan khas itu akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan dari tarikh lantikan sebagaimana keputusan Kabinet pada 29 Oktober 2021.

“Memorandum jemaah menteri berhubung penubuhan pasukan petugas khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri dalam masa terdekat.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles