- Iklan -
Berita

Tapak cadangan pembinaan PDF Lynas kekal di kawasan perindustrian Gebeng

Penilaian impak alam sekitar (EIA) kawasan itu akan dikemukakan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) esok sebelum kelulusan pembinaan diberikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba berkata PDF Lynas yang akan dibina mematuhi piawaian tempatan serta antarabangsa dan dijamin selamat. Gambar: Facebook
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba berkata PDF Lynas yang akan dibina mematuhi piawaian tempatan serta antarabangsa dan dijamin selamat. Gambar: Facebook

Tapak cadangan bagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd masih kekal di kawasan perindustrian Gebeng seluas 28.328 hektar dan kini dalam proses menunggu kelulusan pembinaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba berkata laporan penilaian kesan radiologi (RIA) telah dihantar manakala penilaian impak alam sekitar (EIA) kawasan itu akan dikemukakan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) esok sebelum kelulusan pembinaan diberikan.

“Pembinaan tapak PDF di Bukit Ketam, Kuantan telahpun ditamatkan, tidak ada berlaku lagi pembinaan PDF di situ dan telah dipindahkan dan dicadangkan di kawasan perindustrian Gebeng berhampiran dengan Lynas Advanced Material Plant (LAMP), iaitu kilang yang Lynas ada sekarang.

“Dalam pembinaan PDF, apa yang telah kita laksanakan ialah keperluan RIA dan EIA dipenuhi dan esok laporan RIA akan tamat dan ia telahpun dihantar dan EIA (akan dihantar) esok, selepas itu proses kelulusan dibenarkan. (Pembinaan tapak PDF) ia akan berlaku di tapak sedia ada iaitu bersebelahan LAMP,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) yang bertanyakan sama ada pembinaan tapak PDF masih kekal di kawasan Perindustrian Gebeng atau ada tapak cadangan baru serta langkah yang diambil untuk memastikan penduduk di kawasan sekitar selamat sekiranya PDF dibina di kawasan itu.

Semasa ditanya Nor Azrina Surip (PH-Merbok) sama ada kerajaan tetap akan meluluskan pembinaan PDF itu memandangkan kawasan yang dicadangkan itu tidak digazetkan sebagai tempat pelupusan sisa toksik, Dr Adham berkata PDF yang akan dibina mematuhi piawaian tempatan serta antarabangsa dan dijamin selamat.

“Kawasan yang telahpun digazetkan untuk LAMP sebenarnya sekarang pun ada temporary residual bahan radioaktif itu dan ia perlu dipindahkan ke PDF. Sejujurnya kawasan itu dah ditingkatkan pun dan telah dikaji pemonitoran 20 kilometer radius oleh RIA dan ia selamat.

“Kita ada tiga prinsip iaitu keselamatan, perlindungan dan jaminan yang telah kita tetapkan dan ia perlu dipatuhi sebelum kita benarkan (pembinaan PDF),” katanya.

Menjawab soalan asal Wong Tack (PH-Bentong) berhubung tanggungjawab terhadap PDF sekiranya berlaku kemusnahan akibat bencana alam, Dr Adham berkata ia bergantung kepada laporan analisis keselamatan akhir yang akan dilaksanakan oleh perunding untuk dinilai dan diluluskan oleh AELB sebelum kemudahan PDF itu selesai dibina.

“Lynas bertanggungjawab sepenuhnya membina PDF ini. Untuk tujuan ini ia telah melantik Syarikat Gading Senggara Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi proses pelupusan residu penulenan air larut lesap (WLP) ke PDF yang dibina.

“Syarikat Gading Senggara Sdn Bhd ini perlu dilesenkan oleh AELB dan sebarang liabiliti yang timbul membabitkan PDF sekiranya Lynas menghentikan operasinya akan ditanggung sepenuhnya oleh pemegang lesen itu,” katanya.