- Iklan -
Berita

Risiko dipenjara kekal, Najib dijangka hadiri prosiding keputusan rayuan dari pejabat peguam

Mengikut prosedur, polis mungkin akan ditugaskan di lokasi Najib berada.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak membaca satu surah dari Al-Quran di rumahnya dan mengajak semua penyokongnya untuk turut serta dalam talian menjelang keputusan rayuannya esok. Gambar: Facebook
Najib Razak membaca satu surah dari Al-Quran di rumahnya dan mengajak semua penyokongnya untuk turut serta dalam talian menjelang keputusan rayuannya esok. Gambar: Facebook

Najib Razak mungkin dapat mengelak daripada drama kamar mahkamah seperti mana dilalui Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam perbicaraan kes liwat kira-kira tujuh lalu, berikutan bekas perdana menteri itu bakal mengikuti prosiding esok secara dalam talian bagi mengetahui keputusan rayuannya terhadap sabitan beberapa pertuduhan berkait dana RM42 juta dalam akaun bank peribadinya.

MalaysiaNow difahamkan, oleh kerana Najib berdepan beberapa pertuduhan jenayah, beliau diarahkan untuk mengikuti prosiding penyampaian keputusan mahkamah dari pejabat peguam belanya.

Seorang sumber yang biasa dengan pendengaran secara hibrid berkata dalam situasi di mana mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara, proses seterusnya yang akan dilakukan adalah mempersiapkan Najib untuk dihantar ke penjara.

“Namun perkara ini boleh dielakkan jika peguamnya terus memohon ikat jamin dilanjutkan sementara meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan,” kata sumber yang merupakan peguam jenayah berpengalaman kepada MalaysiaNow.

Sumber turut berkata mengikut prosedur, polis akan ditugaskan untuk berada di lokasi Najib esok.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan untuk meneruskan sesi penyampaian keputusan kes rayuan Najib yang mahu mengenepikan sabitan hukuman oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Terdahulu, Najib dan pasukannya berkata mereka mahu menangguhkan prosiding hari ini dan esok disebabkan salah seorang peguam belanya didapati menjadi kontak rapat Covid-19.

Najib diikat jamin sebanyak RM1 juta selepas mahkamah memberi penangguhan hukuman sehingga keputusan kes rayuannya yang akan disampaikan esok.

Pada sidang mahkamah hari ini, hanya seorang penjamin hadir, memaklumkan kepada panel hakim Mahkamah Rayuan bahawa Najib dan pasukan peguamnya sedang melakukan kuarantin kendiri.

Hal itu menyebabkan amaran tegas diberikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim yang akan menentukan nasib Najib esok.

Mahkamah turut enggan memberikan penangguhan pendengaran lanjutan, dan mengarahkan pihak pembelaan dan kliennya (Najib) untuk hadir secara dalam talian esok.

Sumber berkata jika dilihat daripada perkembangan dalam mahkamah hari ini, pihak pendakwaan mungkin akan membangkitkan bantahan terhadap sebarang permohohan penangguhan hukuman sehingga rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

“Jika mahkamah setuju dengan bantahan itu, Najib perlu masuk penjara sehingga rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan,” tambahnya.

Lewat tengah hari tadi, Karim bersama barisan panel hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera menolak permohohan oleh Muhammad Shafee Abdullah yang mahu mengemukakan bukti baru tambahan bagi rayuan mereka, mengambil keputusan bahawa tidak ada “keadaan luar biasa” yang melampau bagi membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Karim turut mengingatkan Najib untuk hadir dalam pendengaran mahkamah esok secara dalam talian pada pukul 9 pagi esok “tidak kira apa pun yang akan berlaku”.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan bersalah bagi tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International yang barkait dengan 1MDB.

Hukuman sebenar yang dihadapinya adalah sebanyak 72 tahun penjara; 10 tahun bagi setiap enam pertuduhan berkait CBT dan pengubahan wang haram, dan 12 tahun bagi bagi kesalahan salah guna kuasa di mana beliau turut didenda sebanyak RM210 juta atau lima kali ganda jumlah dana yang dipertikaikan.

Namun hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menggunakan budi bicaranya untuk kedua-dua hukuman tersebut dijalankan secara serentak.

Najib adalah ahli politik paling kanan yang disabitkan kesalahan jenayah sejak sabitan kes Anwar Ibrahim pada 2014, dua tahun selepas presiden PKR itu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi bagi kesalahan meliwat seorang kakitangan partinya.

Walaupun Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya, Anwar diberikan penangguhan hukuman.

Pada tahun 2015, beliau dimasukkan ke dalam penjara selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan, namun dilepaskan sebelum menyelesaikan hukuman selepas diberikan pengampunan diraja selepas disyorkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.