- Iklan -
Berita

Prosiding Mahkamah Rayuan diteruskan walau peguam Najib mohon tangguh

Usaha Najib Razak untuk mengemukakan lebih banyak bukti berhubung rayuan kes SRC akan didengar di mahkamah secara hibrid selepas salah seorang peguamnya didapati positif Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Pendengaran Mahkamah Rayuan mengenai bukti baru pembelaan Najib Razak berhubung kes SRC International hari ini diteruskan secara hibrid walaupun permohonan dibuat pihak pembelaan supaya prosiding ditangguhkan ekoran seorang peguamnya didapati positif Covid-19.

Menurut Utusan Online, permohonan tersebut dibuat lewat malam tadi oleh Muhammad Shafee Abdullah memohon agar prosiding hari ini dan keputusan rayuan Najib yang dijadualkan esok ditangguhkan.

Namun, di Mahkamah Rayuan hari ini, pegawai mahkamah memaklumkan bahawa prosiding akan berjalan seperti biasa dengan panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera akan mendengar permohonan di dewan mahkamah bersama-sama pihak pendakwaan.

Barisan peguam pembelaan akan menyertai prosiding melalui aplikasi Zoom di kediaman masing-masing.

Media akan mengikuti prosiding tersebut di salah sebuah bilik persidangan mahkamah secara siaran langsung.

Najib memohon pendengaran mahkamah berhubung bukti baru tambahan dalam rayuan terhadap sabitan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pendengaran itu ditetapkan sehari sebelum keputusan Mahkamah Rayuan disampaikan yang dijadualkan esok.

Dalam permohonannya, Shafee berkata, beliau, Muhammad Farhan bersama isteri dan anak lelakinya menghadiri sambutan dan perjumpaan bersama keluarga dan rakan terdekat yang turut dihadiri peguam terbabit dan ibunya, Sabtu lalu.

“Tambahan pula, anak guam kami (Najib) hadir di pejabat bagi tujuan semakan dan mengikrarkan afidavit yang difaikan semalam.

“Oleh itu, semua status aplikasi MySejahtera milik semua yang terbabit berubah kepada sama ada kontak rapat atau kontak kasual dan masing-masing sedang menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR),” katanya.

Najib didapati bersalah oleh mahkamah pada Julai tahun lalu bagi tujuh kesalahan jenayah termasuk pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Penangguhan hukuman beliau dibenarkan oleh mahkamah sehingga rayuan beliau selesai.