Saturday, January 22, 2022

Penjualan alkohol bukan isu di Sarawak, kata presiden SUPP

Menurut Dr Sim Kui Hian, isu di semenanjung tidak terpakai di Sarawak.

Other News

Penjualan alkohol tidak menjadi isu di Sarawak memandangkan negeri itu mempunyai autonomi untuk membuat keputusan berhubung perkara itu, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 memberikan autonomi kepada Sarawak untuk membuat keputusan berhubung isu penjualan alkohol.

“…. ramai yang tidak menyedarinya tetapi apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak terpakai di sini.

“Bagi Sarawak, alkohol bukan satu isu. Jika ia dibangkitkan oleh sesiapa di Sarawak, bagi saya ia hanya dilakukan demi kepentingan politik atau mencari publisiti semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SUPP Batu Kawah hari ini.

Dr Sim, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, meminta pengundi memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat selama lima tahun lagi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

“Kita (SUPP) sudah mencapai begitu banyak kemajuan di Batu Kawah dalam tempoh lima tahun lepas. (Kita boleh lihat) peruntukan di Batu Kawah dalam tempoh lima tahun lepas bagi projek yang telah dilaksanakan dan yang masih berlangsung bernilai RM330 juta,” katanya.

Beliau berdepan pertandingan empat penjuru menentang Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP) bagi merebut kerusi Batu Kawah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles