- Iklan -
Berita

‘Penasihat’ Guan Eng angkuh, berlagak seperti menteri, kata Dr Mahathir

Beliau berkata penasihat Lim itu berlagak seperti menteri walaupun hanya bergelar setiausaha politik.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan tulisannya mengenai seorang pembantu bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng yang beliau dakwa dalam memoirnya masuk campur dalam urusan kerajaan dan mengugut seorang pemaju sebuah projek hartanah bermasalah.

Beliau mengatakan pembantu tersebut berkelakuan “seakan dia seorang menteri” berbanding jawatannya yang hanya bergelar setiausaha politik.

“Dia terlalu angkuh,” kata bekas perdana menteri itu ketika ditanya mengenai isu tersebut dalam sebuah sesi dalam talian hari ini.

“Beliau berkelakuan macam dialah yang menteri. Sebagai setiausaha politik, anda harus lapor isu politik dalam negara, bukan pergi keliling laksanakan polisi kerajaan.”

Mengulas lanjut, Mahathir mendedahkan bahawa beliau turut menerima banyak aduan terhadap individu tersebut.

“Ada banyak perkara yang dikatakan terhadap dia dan latar belakangnya,” katanya.

“Namun ramai mengadu kepada saya. Jika saya ingin memetik kenyataan mereka, pastinya buku ini akan dipenuhi dengan kes berkaitan.”

Menerusi buku  berjudul “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, Mahathir berkata, beliau terpaksa menghentikan tindakan seorang pemimpin DAP yang didapati menyertai mesyuarat di luar bidang kuasanya.

“Terdapat juga beberapa insiden penasihat ini bercakap di khalayak ramai mewakili kerajaan meskipun tidak mempunyai jawatan.

“Ini bukannya cara fungsi sebuah kerajaan, dan saya terpaksa menghentikan semua ini segera, tingkah laku sebegini yang memberi ruang kepada tentera siber Umno untuk memainkan isu perkauman,” katanya menerusi buku setebal 304 muka surat yang akan mula dijual pada bulan ini.

Dakwaan beliau mendapat maklum balas daripada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang mengakui dirinya sebagai individu yang dimaksudkan Mahathir.

Pua berkata, projek yang dirujuk adalah bangunan pencakar langit, Exchange 106, yang merupakan sebahagian daripada Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, yang dibangunkan oleh Mulia Property Development Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Indonesia, Djoko Tjandra.

Namun begitu, beliau berkata tidak pernah terlibat dalam sebarang rundingan dengan syarikat tersebut, dan menyatakan bahawa Lim memintanya “memerhatikan kemajuan dan resolusi” isu berkaitan projek tersebut.

Pua berkata, Djoko yang marah terhadap permohonan penilaian wajar oleh kementerian kewangan, mengadakan pertemuan dengan Mahathir yang diaturkan oleh “salah seorang penasihat Mahathir”.

“Mahathir marah apabila beliau diberitahu oleh Pak Joe bahawa Tony Pua ‘mengugut’ untuk mengambil alih baki 49% pegangan Mulia dengan hanya RM1 selepas syarikat itu melabur lebih RM1.1 bilion dalam projek tersebut.

“Sangat malang untuk beliau (Mahathir) pilih untuk percaya kata-kata seorang taikun yang tidak jujur, yang sebelum ini didakwa menipu ratusan bilion rupiah daripada Bank Bali pada 2009, dan didakwa sekali lagi atas kesalahan pemalsuan pada 2020 dan rasuah pada 2021,” kata Pua merujuk kepada Djoko.

Projek Exchange 106 berjumlah RM3 bilion itu berdepan masalah apabila pemaju gagal memperoleh dana kira-kira separuh daripada jumlah keseluruhan projek itu dalam bentuk pinjaman bank.

Pua berkata, syarikat itu tawar pembiayaan daripada pentadbiran Najib sebagai dengan memberi kerajaan pemilikan “sementara” 51% pegangan projek itu.

“Dia terpaksa meminta bantuan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman bank, dengan syarat jika dia gagal menyiapkan projek itu, kerajaan akan mengambil alih projek tersebut dengan hanya RM1. Ini adalah betul,” jelasnya.

“Namun begitu, kerajaan tidak boleh mengugut pelabur. Mereka perlu mesra dengan mereka, dan membawa lebih banyak pelabur, dana dan kepakaran ke dalam negara.”

Disebabkan penasihat ini, kata Mahathir, ramai pemilik syarikat tidak menyokong kerajaan.

“Apabila kita mempunyai individu yang bukan seorang menteri, hanya setiausaha politik, memberi arahan atau mengugut mereka, ini menunjukkan anda seorang yang angkuh,” tambahnya.