- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib kemuka bukti baru kes SRC

Sesi penyampaian keputusan rayuan kes penyelewengan dana SRC International juga akan diteruskan esok.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International menjelang penyampaian keputusan rayuannya esok.

Najib hadir dalam sidang hibrid hari ini pada pukul 12.30 tadi, selepas gagal hadir pada prosiding fizikal di sebelah pagi dalam pendengaran permohonan di hadapan tiga panel hakim Mahkamah rayuan dipengerusikan Abdul Karim Jalil.

Jika sabitan kesalahannya dikekalkan, pembelaan dijangka akan memohon penangguhan hukuman bagi membenarkan rayuan seterusnya di Mahkamah Persekutuan .

Najib memohon untuk mengemukakan bukti baru tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan pertuduhan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi kes penyelewengan dana SRC International.



Pasukan pembelaannya cuba untuk menangguhkan pendengaran permohonannya hari ini selepas seorang peguam mewakili ahli Parlimen Pekan itu disahkan positif Covid-19.

Namun Karim mengarahkan prosiding diteruskan secara hibrid menerusi aplikasi Zoom melibatkan Najib dan peguam pembelaan yang lain, mengatakan pilihan lain prosiding adalah dengan membatalkan ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap supaya ahli Parlimen Pekan itu boleh dibawa ke mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Karim bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan Najib gagal menunjukkan “keadaan luar biasa” yang melampau bagi membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Najib memohon Mahkamah Rayuan untuk membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce diambil dari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC, selain keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes tersebut.

Najib berkata permohonan itu dibuat sebaik sahaja beliau dimaklumkan mengenainya dan berjaya mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

Beliau turut mendakwa maklumat sedemikian tidak disediakan atau tidak boleh diperolehi sama ada semasa perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi mahu pun ketika Mahkamah Rayuan mendengar rayuannya.