- Iklan -
Berita

‘Mahkamah bukan kedai kopi’, hakim ingatkan Najib tidak hadir prosiding

Mahkamah juga berkata pihaknya boleh mengeluarkan waran tangkap kerana ketidakhadiran Najib menjelang penyampaian keputusan rayuan esok.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak tidak hadir pendengaran di mahkamah hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak tidak hadir pendengaran di mahkamah hari ini. Gambar: Bernama

Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengingatkan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa mahkamah bukan kedai kopi susulan ketidakhadirannya dalam prosiding hari ini.

Panel hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil itu menegur peguam Harvinder Singh Sidhu dan seorang penjamin mewakili Najib yang hadir pada prosiding hari ini.

Terdahulu, panel mendengar penjelasan peguam yang memohon penangguhan bagi pendengaran bukti baru dan penyampaian keputusan kes dijadualkan esok, memberikan alasan Najib menjadi kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Bagaimanapun, penjamin dan pembelaan Najib tidak dapat menjawab soalan panel hakim mengenai ketidakhadiran beliau hari ini.

“Tarikh perbicaraan hari ini telah pun dimaklumkan, dan penjamin telah dimaklumkan.

“Kita boleh membatalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap atas ketidakhadiran Najib hari ini.

“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu Najib tiada di sini. Anda hanya meneka.

“Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah, jangan main teka-teka sahaja,” kata Karim seperti dilaporkan Malaysiakini.

Karim turut mengingatkan Harvinder bahawa lebih banyak bukti perlu dikemukakan berbanding hanya penjelasan lisan bagi menyokong alasan ketidakhadiran Najib.

Panel hakim turut menolak permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan bagi permohonan bukti baru hari ini sekali gus mengarahkan perbicaraan disambung semula pada pukul 12.30 tengah hari ini melalui zoom.

Karim juga mengingatkan pasukan pembelaan bahawa tarikh penyampaian keputusan bagi rayuan Najib dalam kes SRC akan diteruskan esok, sementara menunggu keputusan permohonan bagi mengemukakan bukti baru.

Pada Julai tahun lalu, Najib disabitkan tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana RM42 juta SRC International.

Beliau bagaimanapun membuat rayuan atas sabitan pertuduhan dan hukumannya dan dibenarkan penangguhan hukuman sehingga rayuannya selesai.

Mahkamah Rayuan menetapkan penyampaian keputusannya esok bagi membatalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes tersebut.