- Iklan -
Berita

Singapura kesan satu lagi kes varian Omicron

Pada 4 Disember, pesakit mengalami demam dan sakit tekak dan dihantar ke NCID, dan ujian awalnya menunjukkan positif bagi varian Omicron.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19. Gambar: Reuters
Orang ramai memakai pelitup muka di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19. Gambar: Reuters

Satu lagi kes import Covid-19 di Singapura menunjukkan keputusan positif dalam ujian awal untuk varian Omicron.

Kes itu kini semakin pulih dan dirawat di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID), kata kementerian kesihatan (MOH) republik itu dalam kemas kini harian mengenai Covid-19 malam tadi.

Dilabel sebagai Kes 273611, MOH berkata kes ketiga itu ialah seorang lelaki pemastautin tetap Singapura berusia 37 tahun yang tiba di negara pulau itu dari Afrika Selatan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember.

“Beliau sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom tidak ketara dengan demam dan sakit tekak. Beliau juga tidak berinteraksi dengan masyarakat, dan pada masa ini tiada bukti penularan komuniti daripada kes itu,” kata kenyataan itu.

Ujian Covid-19 lelaki itu sebelum berlepas dari Johannesburg pada 29 November adalah negatif. Setibanya di Singapura, beliau dikuarantin di kemudahan khusus Notis Duduk Rumah (SHN), dan ujian tindak balas rantai polimerase pada 1 dan 3 Dis menunjukkan keputusan negatif.

Pada 4 Disember, pesakit mengalami demam dan sakit tekak dan dihantar ke NCID, dan ujian awalnya menunjukkan positif bagi varian Omicron.

“Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang menjalankan penjujukan genom keseluruhan untuk mengesahkan varian itu,” kata kementerian itu.

MOH menyebut beliau berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes Omicron sebelum ini, Kes 271487 dan 271958, yang dikesan sebagai jangkitan pertama varian itu di Singapura.

Singapura pada 2 Disember melaporkan dua kes import Covid-19 yang menunjukkan keputusan positif pada ujian awal untuk varian Omicron dengan keputusan ujian pengesahan belum selesai.

Kesemua 18 penumpang lain dalam penerbangan itu telah diuji negatif untuk jangkitan Covid-19 dan dikuarantin di kemudahan SHN yang ditetapkan.