Sunday, January 23, 2022

Abang Johari hadapi 3 muka baru di Gedong

Abang Johari memilih untuk bertanding di DUN Gedong, sebuah kawasan luar bandar, selepas sembilan penggal menjadi penyandang di kerusi Satok.

Other News

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berdepan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, yang pertama kali bertanding di luar kawasan tradisinya di Satok, ditentang tiga calon muka baharu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Parti Amanah Negara (Amanah) Kamal Bujang dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Pengumuman nama calon yang bertanding itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gedong Abdul Khalid Manap di pusat penamaan calon (PPC) di Dewan Masyarakat Gedong selepas tempoh pencalonan tamat pada 10 pagi.

Abang Johari memilih untuk bertanding di DUN Gedong, sebuah kawasan luar bandar, selepas sembilan penggal menjadi penyandang di kerusi Satok.

DUN Gedong yang mempunyai sejumlah 7,208 pengundi terdiri daripada 3,508 lelaki serta 3,700 wanita berada di bawah Parlimen Batang Sadong dan terletak kira-kira sejam setengah perjalanan dari Kuching.

Kira-kira 60% pengundi di kawasan itu adalah Melayu, 30% Iban dan 10% etnik lain.

Ia merupakan kawasan DUN baru yang dibentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa PRN Sarawak ke-11 pada 2016.

Penyandang kerusi Gedong iaitu Mohd Naroden Majais sebelum ini mengumumkan mengundur diri dan memberi laluan kepada Abang Johari untuk mempertahan kerusi GPS di DUN itu.

Naroden, yang juga Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan selama lima penggal sebelum bertanding di kerusi baharu DUN Gedong pada PRN lepas.

Pada pilihan raya itu, beliau mendapat 4,064 undi mengalahkan Rapelson Richard Hamit daripada Amanah dan Uja Bunsi (Bebas).

Tarikh mengundi bagi PRN Sarawak ke-12 ditetapkan pada 18 Dis ini manakala undi awal pada 14 Disember.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles