- Iklan -
Berita

Singapura kesan dua kes import positif varian Omicron

Kementerian kesiharan Singapura berkata kedua-dua kes dikuarantin sebaik tiba di Singapura pada 1 Disember, dan tidak berinteraksi dalam komuniti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka dalam LRT di Singapura. Dua kes jangkitan varian Omicron di negara itu dikesan daripada penumpang dari Johannesburg yang menaiki pesawat SQ479 pada 1 Disember. Gambar: AP
Orang ramai memakai pelitup muka dalam LRT di Singapura. Dua kes jangkitan varian Omicron di negara itu dikesan daripada penumpang dari Johannesburg yang menaiki pesawat SQ479 pada 1 Disember. Gambar: AP

Singapura mengesan dua kes import Covid-19 yang disahkan positif ujian pertama awal varian Omicron, menurut kementerian kesihatan (MOH) republik itu.

MOH berkata kedua-dua kes dikuarantin sebaik tiba di Singapura pada 1 Disember, dan tidak berinteraksi dalam komuniti.

“Pada masa ini tiada bukti penularan komuniti daripada kes-kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata kes-kes itu kini semakin pulih di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID).

“Kedua-duanya telah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom tidak ketara batuk dan tekak gatal,” katanya.

MOH berkata kedua-dua mereka dengan jangkitan itu tiba dari Johannesburg dengan menaiki pesawat SQ479 pada 1 Disember.

Dilabel sebagai Kes 271487,  kes pertama ialah seorang lelaki penduduk tetap Singapura berusia 44 tahun yang tiba di Singapura dari Mozambique, dengan transit melalui Johannesburg.

Ujian pra-berlepasnya di Mozambique pada 29 November adalah negatif Covid-19, kata kenyataan itu.

Sementara itu, kes kedua yang dilabel sebagai Kes 271598 ialah seorang wanita warga Singapura berusia 41 tahun yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan. Ujian pra-berlepasnya di Johannesburg pada 29 November adalah negatif Covid-19, kata MOH.

“Sebaik tiba di Singapura, mereka menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dan segera dihantar ke kemudahan khusus untuk notis duduk rumah (SHN) dan diasingkan sementara menunggu keputusan ujian,” kata MOH.

Selepas pengesahan jangkitan varian Omicron, kementerian berkata mereka dihantar ke NCID.

MOH menyatakan pengesanan kontak sedang dijalankan.

“Semua 19 penumpang lain yang berada dalam penerbangan yang sama sudah disahkan negatif untuk jangkitan Covid-19 dan dikuarantin di bawah SHN dan bergantung kepada keputusan ujian PCR mereka,” kata kenyataan itu.

Pemulihan atau kuarantin rumah tidak akan terpakai bagi kes itu, kata KKM.