- Iklan -
Berita

Malaysia rekod kes pertama varian Omicron

Kes tersebut dikesan daripada seorang pelajar bukan warganegara Malaysia berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar itu dilaporkan belajar di sebuah universiti swasta di Ipoh.
Pelajar itu dilaporkan belajar di sebuah universiti swasta di Ipoh.

Kementerian kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan kes pertama varian dibimbangi (VOC) Omicron di Malaysia.

Kementerian kesihatan berkata, kes itu dikesan daripada seorang pelajar berusia 19 tahun di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.

“Hasil daripada ujian PCR genotyping assay, satu daripada sampel dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron.

“Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021,” kata KKM dalam sebuah kenyataan hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO mengumumkan penularan varian baru VOC Omicron pada 24 November lalu.

Setakat ini, KKM mengenal pasti hampir 50 negara berisiko penularan VOC tersebut.

Dalam pada itu, KKM berkata pelajar tersebut diberi perintah pengawasan dan pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di penginaan yang disediakan pihak universiti.

“Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

“Kes juga menerima vaksinasi lengkap dan tidak bergejala.”

Sementara itu, pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dari KLIA ke Ipoh yang membawa pelajar tersebut termasuk pemandu iaitu seramai lima orang.

“Mereka menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib.

“Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif,” katanya.