- Iklan -
Berita

GPS pertama kali bertanding PRN Sarawak sebagai satu pasukan

82 calon GPS akan bertanding termasuk 24 muka baru

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan gabungan kerajaan negeri hari ini berkata ia akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan sebagai satu pasukan, memperkenalkan 82 calon termasuk 24 muka baru.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg yang juga ketua menteri Sarawak berkata ia akan menjadi kali pertama gabungan berdepan PRN sebagai satu gabungan.

“Kami semua akan bertanding untuk GPS sebagai satu pasukan,” katanya selepas menyerahkan watikah kepada 82 calon.

“Ini adalah kali pertama kita akan bertanding pilihan raya dengan logo GPS.”

Bercakap pada sidang media di Kuching, beliau berkata GPS adalah singkatan kepada “Sarawak first”.

“Lanskap politik di Sarawak, hanya rakyat Sarawak yang tahu,” katanya lagi.

Abang Johari juga berkata GPS turut membuat langkah berani dalam memperkenalkan 24 muka baru.

“Dengan meletakkan muka baru, mereka akan dapat belajar dan kita boleh melatih mereka,” katanya.

“Ini akan menjadi pendedahan kepada calon muda dan sudah tentu, mereka mempunyai cara mereka sendiri.”

Beliau berkata muka baru yang yang akan bertanding adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan boleh melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Rasional di sebalik keputusan ini adalah bagi menjamin kesinambungan pentadbiran bagi Sarawak. Sejak empat tahun lalu, kita telah meneruskan apa yang dijanjikan Tok Nan,” katanya merujuk kepada bekas ketua menteri Adenan Satem yang meninggal dunia pada Januari 2017.

Abang Johari yang memegang kerusi Satok turut mengesahkan akan bertanding di Gedong manakala calon baru Ibrahim Baki akan menggantikan beliau di Satok.