Friday, January 21, 2022

Waran tangkap tidak dikeluarkan walau Rosmah gagal hadir perbicaraan

Panel tiga hakim menggunakan budi bicara memberinya peluang untuk hadir ke mahkamah pada Isnin depan.

Other News

Rosmah Mansor gagal hadir ke Mahkamah Rayuan bagi pendengaran rayuan untuk melucutkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah melibatkan projek hibrid solar di Sarawak, susulan kebenaran sebelum ini yang melepaskan pasport kepada beliau untuk ke Singapura.

Beliau hampir diberi waran tangkap hari ini oleh panel tiga hakim diketuai hakim Hanipah Farikullah, namun diberikan peluang menggunakan budi bicara mahkamh agar dapat hadir ke mahkamah pada Isnin depan selepas dimohon peguam mewakilinya, Jagjit Singh.

Menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 15 Oktober 2021, Rosmah sepatutnya pulang dari Singapura sebelum 21 November lalu.

Hanipah berkata beliau mengambil maklum penghujahan peguam bela bahawa Rosmah tidak pernah gagal hadir ke mahkamah untuk prosiding perbicaraannya.

“Perayu (Rosmah) belum pulang ke Malaysia seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam perintah bertarikh 15 Oktober 2021.

“Peguam perayu mengakui kegagalan perayu untuk hadir ke mahkamah hari ini adalah tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi.

“Oleh itu, perbicaraan ini akan ditangguhkan ke Isnin depan bagi meneruskan perbicaraan,” katanya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan penyelenggaraan operasi genset diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada kementerian pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah kepuasan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Rosmah turut berdepan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles