- Iklan -
Berita

Sukar bagi orang Bidayuh berpisah dengan tanah adat mereka

Di sebalik cabaran dan kesukaran hidup di kawasan pedalaman, perpindahan ke Bengoh di bawah skim penempatan semula meremukkan hati ramai orang Bidayuh.

Nur Shazreena Ali
4 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara kawasan Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) di Padawan, Sarawak. Ia adalah penempatan bagi kira-kira 200 keluarga Bidayuh yang berpindah ke kawasan itu beberapa tahun lalu.
Pemandangan dari udara kawasan Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) di Padawan, Sarawak. Ia adalah penempatan bagi kira-kira 200 keluarga Bidayuh yang berpindah ke kawasan itu beberapa tahun lalu.

Setiap kali Tim Anak Kawen mahu menikmati sayur-sayuran segar, apa yang dia perlu lakukan ialah pergi ke belakang rumahnya dan memilih apa-apa sayur dari kebun hidroponik yang diusahakannya di Padawan, kira-kira 40km dari ibu negeri Sarawak.

Di sana, di sebidang tanah seluas kira-kira tiga hektar, dia turut menanam pelbagai jenis herba dan tanaman lain.

Setiap pagi, dia akan memeriksa paras air bagi tanamannya yang menggunakan sistem fertigasi sementara menunggu pelanggannya mengambil tempahan sayur mereka.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata usahanya dalam bidang pertanian menjadi sebuah kelegaan yang membuatkan dirinya senang selepas tiga dekad bekerja sebagai jurujual.

Walaupun selepas wabak Covid-19 melanda, Tim masih boleh mengerjakan tanahnya di bawah Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS).

“Hidup lebih senang sekarang,” katanya.

“Ketika saya bekerja sebagai jurujual, saya perlu memandu sejauh 40km pergi dan balik setiap hari dari Kuching ke Bengoh.”

Bagaimanapun, usaha barunya berbakti kepada tanah perlu dibayar harga yang mahal.

Tim Anak Kawen bersama isteri di kebun hidroponik sayur-sayuran rumah mereka.

Tim adalah antara 204 keluarga Bidayuh yang pernah tinggal di empat kampung berhampiran kawasan yang akan bertukar wajah sebagai empangan Bengoh – Kampung Taba Sait, Kampung Pain Bojong, Kampung Rejoi dan Kampung Semban di Upper Penrissen.

Kira-kira 1,600 Orang Bidayuh akhirnya terpaksa berpindah tempat tinggal antara 2010 dan 2014, meninggalkan kebun, ternakan ikan, tanah perkuburan serta hak tanah adat mereka.

Di BRS, setiap keluarga diperuntukkan sebuah rumah konkrit berkembar di 25 kawasan di atas sebidang tanah dengan keluasan suku ekar.

Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dapur dan dua bilik mandi.

Penempatan bernilai RM192 juta itu juga turut dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air terawat dan elektrik, selain kemudahan lain termasuk rumah ibadat: sebuah gereja Anglikan, sebuah Gereja Katolik Injil Borneo Sarawak dan empat balai raya bagi setiap kampung.

Keputusan yang sukar

Keputusan untuk berpindah dari tempat asal mereka adalah satu hal yang sukar bagi masyarakat Bidayuh, di mana nama itu sendiri bermaksud “orang darat”.

Bidayuh dipercayai berasal dari kawasan bernama Sungkong, sebuah kawasan pergunungan yang terletak di Kalimantan Barat, Indonesia.

Semasa pertengahan hingga akhir abad ke-19, mereka menerokai hutan Sarawak, termasuk Padawan, Bau, Penrissen dan Serian sekali gus membuka penempatan baru.

Walaupun ramai yang m berpindah ke BRS, kira-kira 12 keluarga masih kekal tinggal di hulu Bengoh, mereka enggan meninggalkan tanah yang diwarisi daripada nenek moyang.

Antara jalan di sekitar kawasan BRS.

Tanah demikian dikenali sebagai tanah adat Bumiputera (NCR), iaitu tanah yang diwarisi secara turun-temurun tanpa sebarang hak milik.

Di bawah “adat” atau undang-undang adat, tanah NCR terbahagi kepada tiga: “termuda”, “pulau galau” dan “pemakai menoa”.

“Termuda” merujuk kepada kawasan pertanian atau ladang manakala “pulau galau” ialah kawasan rizab yang disimpan bagi kegunaan bersama.

Manakala “pemakai menoa” pula merupakan kawasan yang digunakan untuk memburu binatang oleh masyarakat Dayak.

Namun di kawasan tersebut yang hanya boleh diakses dengan berjalan kaki, kemudahan asas adalah sangat terhad walaupun beberapa rumah menggunakan tenaga solar atau generator.

Untuk sampai ke rumah warisan keluarganya di Kampung Rejoi, Tim mesti berjalan kaki di kawasan tanah tinggi dan perlu menyeberangi lebih 20 jambatan buluh – sebuah perjalanan yang mengambil masa kira-kira lima jam secara keseluruhannya.

“Dulu, di kampung, saya biasa pikul orang kampung bagi meredah hutan untuk ke hospital.

“Saya terpaksa berjalan kaki selama empat jam, melintasi jambatan buluh di sepanjang perjalanan,” katanya sambil mengenang kejadian di mana dia terpaksa mendukung seorang wanita hamil meredah hutan untuk ke hospital.

Setibanya di Bengoh, dia terpaksa pula mencari pengangkutan untuk pergi ke kawasan bandar.

Menurut Tim, semua barangan dari peti sejuk, bahan api dan perabot akan dibawa penghantar meredah kawasan hutan itu.

Kini, di penempatan yang mempunyai infrastruktur dan kemudahan sedia ada, penduduk kampung mempunyai akses yang lebih baik untuk kemudahan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Namun ia bukanlah sebuah keputusan yang mudah untuk dilakukan.

“Pada mulanya, saya tidak gembira,” kata Tim.

“Tetapi kita perlu teruskan juga. Saya menerimanya kerana saya tahu ini adalah satu-satunya cara untuk saya sediakan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak.”

Penyesuaian di tempat baru juga ternyata sukar bagi sesetengah penduduk kampung yang lebih tua kerana mereka terpaksa memulakan usaha pertanian dari awal semula.

Tim berkata kerajaan negeri berjanji untuk menyediakan tanah bagi penduduk kampung sebagai pampasan, namun tanah yang diberikan tidak sesuai untuk tanaman padi dan lada.

Menurutnya penduduk kampung terpaksa mencari tanaman lain yang boleh tumbuh di atas tanah yang diberikan, untuk dijual serta dimakan sendiri.

Kanun Tanah NCR 1958

Tim juga turut mengenang hari penduduk kampung terpaksa meninggalkan rumah mereka.

“Mereka menangis pada hari itu apabila terpaksa berpindah dari kampung mereka,” katanya.

“Saya juga menangis.”

Tetapi tidak banyak yang boleh mereka lakukan kerana tanpa hak milik, kerajaan kekal memiliki hak terhadap tanah tersebut.

Isu tanah NCR menjadi satu tajuk pertikaian berlarutan antara anak negeri Sarawak dan kerajaan.

Sepanduk yang dinaikkan penduduk sepanjang jalan Tebedu-Serian.

Enakmen Kanun Tanah 1958 adalah satu halangan terbesar kerana ia hanya mengiktiraf tanah NCR yang diklasifikasikan sebagai tanah adat sebelum 1 Januari 1958 dan/atau diwartakan oleh menteri sejak tarikh tersebut.

Di Serian, kira-kira 46km dari BRS, sepanduk membantah pembinaan kuari di atas tanah tersebut dipasang di sepanjang jalan Tebedu-Serian.

Penduduk kampung yang tinggal berhampiran berkata sepanduk itu dipasang selepas mereka menerima berita bahawa sebuah kuari baru diusahakan di belakang Gunung Sinmajau.

Mereka bimbang jika batu diambil dari gunung untuk mengekstrak kuari, ia mungkin akan menyebabkan pencemaran sungai yang merupakan sumber air bagi tanaman sawah padi mereka.

Henry Ahguk Anak Nyandeng, jurucakap Kampung Tubih Mawang, berkata perkara itu sudah dibangkitkan kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Namun begitu, aktiviti tersebut tetap diteruskan walaupun semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kami mengadakan protes kira-kira setahun lalu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kemudian kami anjurkan pertemuan dengan ketua masyarakat dan jemput setiausaha politik untuk bawa perkara itu kepada pemimpin.”

Dalam kes ini, nampaknya penduduk kampung berakhir dengan baik.

Menurut Henry, Abang Johari memberi jaminan kepada penduduk kampung bahawa projek itu dibatalkan.

“Kami berharap syarikat itu tidak lagi menjalankan aktiviti kuari di kawasan kami,” katanya.