- Iklan -
Berita

Pejuang selar ‘layanan istimewa’ terhadap Rosmah selepas tidak hadir ke mahkamah

Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah mahu pasport Rosmah dirampas semula selepas isteri Najib Razak itu pulang semula ke Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Pejuang hari ini mempersoalkan layanan istimewa terhadap Rosmah Mansor selepas isteri kepada Najib Razak itu tidak hadir ke prosiding mahkamah hari ini.

Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah turut menyatakan kekecewaan berikutan peluang yang diberikan mahkamah kepada isteri bekas perdana menteri itu dengan tidak mengeluarkan waran tangkap kerana tidak mematuhi arahan mahkamah.

“Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan oleh rakyat biasa, sudah pasti waran tangkap akan dikeluarkan dengan segera.

“Adakah undang-undang negara istimewa bagi sesetengah individu yang mempunyai kuasa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosmah hari ini terlepas daripada ditahan selepas panel tiga hakim menggunakan budi bicara untuk tidak mengeluarkan waran tangkap selepas gagal hadir prosiding kes rasuah melibat projek solar hibrid.

Beliau sepatutnya berada dalam negara sebelum 21 November lalu selepas diberi pelepasan pasport untuk ke Singapura bagi melawat anaknya yang baru bersalin di negara itu.

Menurut Ulya, Rosmah tidak sepatutnya diberi sebarang kelebihan selepas peluang yang diberikan kepadanya telah disalah guna dan diambil kesempatan.

“​Sekembalinya pulang ke tanah air, dokumen perjalanan dan passport Rosmah Mansor wajib ditarik semula dan disekat.

“Jangan beri ruang untuk beliau ulangi kegagalan ini dan bertindak seolah-olah beliau kebal dari tindakan undang-undang.”