- Iklan -
Berita

Najib fail permohonan ‘bukti baru’ kes SRC

Menurut peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, selagi tiada keputusan mahkamah, kes masih lagi berjalan dan pihaknya boleh mengemukakan bukti baru.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.

Menjelang keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Disember, bekas perdana menteri Najib Razak semalam memfailkan permohonan untuk mendapatkan “bukti baru” bagi kes SRC International yang membabitkan dana RM42 juta.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkembangan itu hari ini susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM65 juta yang diterima Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz.

“Ada penyorokan bukti dalam kes ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, dana yang dikaitkan dengan 1MDB itu dipindah ke dalam akaun Iron Rhapsody Ltd dan Cutting Edge Industries Ltd yang berpengkalan di Singapura.

Kedua-dua syarikat itu dikawal Tawfiq dan rakan kongsinya, Samuel Goh.

Katanya selagi tiada keputusan mahkamah, kes masih lagi berjalan dan pihaknya boleh mengemukakan bukti baru.

“Saya menjangkakan mahkamah mendengar permohonan ini, sama ada boleh atau tidak (bukti baru dikemukan).

“Dalam situasi penemuan bukti baru, saya akan minta izin untuk mengemukakan afidavit, dan kemudian saya akan menyoal pegawai penyiasat SPRM,” katanya.

Kata Shafee, dengan penemuan bukti baru itu, pihak pembelaan dapat menyoal Zeti dan penglibatan keluarganya dengan Jho Low, figura penting dalam kes SRC dan 1MDB yang masih belum dijumpai.

Mahkamah Rayuan terdahulu menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuan.

Menerusi pendedahan itu, katanya siasatan 1MDB taskforce tidak lengkap atau sengaja diacukan kepada Najib.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).