- Iklan -
Berita

Kerajaan tidak cadang wajibkan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksin

Menurut timbalan menteri kesihatan, pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech bagi dos kedua kepada Orang Asli Temuan di Sungai Congkak, Hulu Langat.
Petugas kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech bagi dos kedua kepada Orang Asli Temuan di Sungai Congkak, Hulu Langat.

Kerajaan tidak bercadang menjadikan pengambilan dos penggalak sebagai syarat wajib untuk melengkapkan dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang berkata seperti vaksin dos pertama dan kedua, pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela.

“Walaupun peratusan (penerimaan) dos penggalak agak perlahan iaitu hanya 10.83% sahaja setakat ini, tetapi kita tidak boleh jadikan booster (dos penggalak) sebagai wajib.

“Tetapi dengan munculnya varian yang membimbangkan (VOC) Omicron, kita sarankan agar dos penggalak ini diambil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai sama ada kementerian kesihatan (KKM) akan menjadikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksin Covid-19 susulan terdapat 30 hingga 40% penerima dua dos vaksin menolak untuk mengambil dos penggalak.

Menjelas lanjut, Aaron berkata KKM akan terus giat melaksanakan langkah dan kempen bagi memastikan penerima dos lengkap vaksin menerima dos penggalak.