Sunday, January 23, 2022

Keluaran siswazah perubatan tempatan di bawah unjuran KKM

Seramai 2,967 siswazah perubatan telah dihasilkan institusi pendidikan tinggi dalam negara pada tahun lepas.

Other News

Keluaran siswazah perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan kementerian kesihatan (KKM), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Noraini Ahmad berkata Pelan Strategik KKM 2016-2020 menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Malaysia menjelang 2025 adalah 1:400 dengan purata keperluan tambahan setiap tahun adalah 4,000 orang.

Beliau berkata seramai 2,967 siswazah perubatan telah dihasilkan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara pada tahun lepas dengan 958 orang daripada IPT awam (IPTA) manakala 2,009 orang daripada IPT swasta (IPTS).

“Merujuk kepada statistik sedia ada, keluaran graduan perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan KKM. Bagaimanapun, di bawah Akta Perubatan 1971, semua graduan perubatan termasuk dari luar negara wajib mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menjalani khidmat wajib.

“Bagi memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dengan permintaan pasaran kerja dan aspirasi negara, KPT dari semasa ke semasa memantau pengambilan pelajar Sarjana Muda Perubatan yang kini ditetapkan berdasarkan kapasiti IPT dan tertakluk kepada kuota ditetapkan MPM,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai jumlah pelajar yang tamat pengajian dalam bidang perubatan dan undang-undang IPTA dan IPTS pada 2020-2021 serta sama ada angka itu melebihi keperluan pasaran kerja.

Bagi program undang-undang pula, seramai 1,704 siswazah telah dikeluarkan IPT tempatan pada tahun lepas merangkumi 1,098 orang lulusan IPTA dan 606 orang daripada IPTS.

“Suka juga saya kongsikan bahawa pada ketika ini, moratorium program undang-undang yang telah dilaksanakan hampir 15 tahun masih lagi berkuat kuasa,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles