- Iklan -
Berita

24 pelajar Politeknik Sandakan disahkan positif Covid-19

Pengesanan kes positif itu turut mencetuskan kluster baru Sungai Batang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar politeknik tersebut didapati mengalami gejala demam dan batuk sejak 12 November lalu dan dikesan positif melalui saringan kit ujian pantas (RTK) antigen di klinik swasta pada tarikh yang sama. Gambar: Bernama
Pelajar politeknik tersebut didapati mengalami gejala demam dan batuk sejak 12 November lalu dan dikesan positif melalui saringan kit ujian pantas (RTK) antigen di klinik swasta pada tarikh yang sama. Gambar: Bernama

24 orang pelajar Politeknik Sandakan disahkan positif Covid-19 sekali gus mencetus kluster Sungai Batang, Sandakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster tersebut melibatkan seorang pelajar lelaki tempatan berusia 19 tahun.

Pelajar tersebut didapati mengalami gejala demam dan batuk sejak 12 November lalu dan dikesan positif melalui saringan kit ujian pantas (RTK) antigen di klinik swasta pada tarikh yang sama.

“Saringan kontak rapat terhadap 29 pelajar serta dua kakitangan mendapati terdapat 24 kes positif bagi kluster ini termasuk 11 kes baru dalam kalangan pelajar asrama institusi berkenaan,” kata Masidi dalam sebuah kenyataan.

Masidi turut berkata seramai 1,447 pesakit kini sedang menerima rawatan di Sabah termasuk 623 orang di hospital, 797 orang di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) Awam, 24 orang di pusat tahanan sementara (PTS)/penjara dan tiga orang di fasiliti swasta.

Semalam, Sabah merekodkan 467 kes harian dan turut melaporkan tujuh kes kematian.

Tambahan kes positif semalam menjadikan kumulatif kes di Sabah berjumlah 233,700 kes dan bilangan kes pulih sebanyak 223,313 orang.

Dalam pada itu Masidi berkata setakat 30 November, sejumlah 2.44 juta penduduk Sabah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 2.39 juta penduduk telah menerima dos lengkap.

Daripada jumlah itu, seramai 2.08 juta penduduk dewasa lengkap divaksin manakala, remaja yang lengkap divaksin seramai 307,758 orang atau 70.91%.