- Iklan -
Berita

Tiada alasan naikkan harga ais, kata PM

Ismail tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri hari ini memeriksa barangan harga keperluan di MyFarm Outlet Kasih di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri hari ini memeriksa barangan harga keperluan di MyFarm Outlet Kasih di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Syarikat pengeluar ais tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga di pasaran, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas laporan mengenai peningkatan harga sebungkus ais sebanyak RM0.50 bermula hari ini, Ismail berkata kenaikan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan masih mengekalkan tarif air dan elektrik ketika ini.

“Harga ais tidak sepatutnya naik kerana kerajaan beri kemudahan bekalan air dan elektrik pada harga murah, tiada kenaikan,” katanya  kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan di MyFarm Outlet Kasih hari ini.

Membanding alasan kenaikan harga roti yang berpunca daripada peningkatan harga gandum, Ismail berkata: “Negara kita tidak tanam gandum, kita import gandum. Jadi ia beri kesan pada harga roti.”

Berikutan rungutan pelbagai pihak, Ismail mahu kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) menjalankan kajian terperinci berhubung faktor kos pengeluaran.

“Kita (kerajaan) mahu maklumat bagi harga kos di setiap rantaian bekalan.

“Kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan peningkatan harga barangan keperluan disebabkan faktor kos pengeluaran,” katanya.