- Iklan -
Berita

Prognosis pandemik: Ke mana arah tuju wabak ketika ini?

Pakar berpandangan fasa pandemik bakal berakhir tahun depan jika akses kepada vaksin yang setara turut berlaku di negara-negara miskin.

AFP
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka di stesen LRT Frankfurt, Jerman. Gambar: AP
Orang ramai memakai pelitup muka di stesen LRT Frankfurt, Jerman. Gambar: AP

Dunia mungkin menyaksikan penularan pandemik Covid mulai menyusut pada tahun hadapan dan bakal menjadi satu lagi penyakit endemik lain yang di mana manusia perlu hidup bersamanya, melainkan wujud jurang ketara dalam akses terhadap vaksin sehingga penularannya akan terus berlaku mengakibatkan pelbagai varian yang lebih berbahaya muncul.

Ketika banyak negara sedang bergelut untuk menangani varian virus baru yang membimbangkan dan Eropah pula bakal menghadapi musim sejuk, pakar kesihatan mengatakan usaha untuk meredakan wabak itu pada tahun hadapan mungkin boleh dilakukan.

Semua pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk mengawal virus tersebut sudah ada, sementara stok vaksin yang selamat dan berkesan juga turut tersedia selain rawatan bagi penyakit tersebut.

Namun masih tidak jelas sama ada kita akan membuat pilihan sukar yang perlu dilakukan, atau membiarkan wabak itu terus berleluasa, sehingga membuka jalan untuk situasi lebih buruk berlaku.

“Trajektori wabak ini berada dalam tangan kita,” kata Maria Van Kerkhove, pakar utama dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menangani krisis Covid.

Bolehkah kita “capai keadaan di mana kita dapat kawal penularan pada 2022? Sudah tentu,” katanya.

“Kita sudah boleh melakukannya, tetapi kita tidak lakukan.”

Setahun selepas vaksin pertama dipasarkan, lebih 7.5 bilion dos telah diberikan kepada orang ramai di seluruh dunia.

Dan dunia juga kini sedang menghasilkan kira-kira 24 bilion dos menjelang Jun depan – satu jumlah yang lebih daripada cukup untuk semua penduduk planet ini.

Bagaimanapun kekurangan vaksin di negara-negara miskin dan keengganan sesetengah masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin telah menyebabkan negara terdedah dengan varian baru yang lebih mudah menular seperti varian Delta yang mencetuskan gelombang demi gelombang jangkitan.

Ekoran itu, babak-babak di mana pesakit diintubasi di hospital yang sesak dan barisan panjang orang ramai mendapatkan bantuan pernafasan bagi orang tersayang telah berterusan di beberapa bahagian dunia.

Gambar pengebumian dan mayat dibakar di seluruh India yang dilanda varian Delta menjadi sebuah perlambangan korban manusia akibat wabak tersebut.

Secara rasmi, lebih dari 5.1 juta orang meninggal dunia di seluruh dunia, walaupun WHO berkata jumlah sebenar korban mungkin dua atau tiga kali ganda angka tersebut.

Di AS, yang kekal menjadi negara yang paling teruk terjejas dengan hampir 800,000 kematian, ucapan takziah terus menghujani akaun Twitter FacesOfCovid.

Ramai dalam kalangan mereka yang terkorban dilaporkan tidak mendapat suntikan vaksin.

“Amanda, seorang guru matematik berusia 36 tahun di Kentucky. Chris, seorang jurulatih bola sepak sekolah menengah berusia 34 tahun di Kansas. Cherie, seorang guru berusia 40 tahun di Illinois.

“Semua mereka memberi kesan dalam komuniti mereka. Semua mereka adalah orang yang disayangi ramai. Namun semua mereka tidak divaksin.”

‘Sebahagian daripada kita’

Dua tahun selepas virus itu muncul di China, negara-negara di seluruh dunia masih berbolak-balik antara langkah membuka sempadan dan mengenakan semula sekatan pergerakan.

Bantahan golongan antivaksin juga menggegarkan beberapa negara di Eropah, di mana ia sekali lagi menjadi titik utama pandemik, sehingga beberapa negara mengambil langkah untuk melaksanakan semula penutupan sempadan dan mewajibkan vaksinasi.

Walaupun babak demikian berlaku di seluruh dunia, ramai pakar berpandangan fasa pandemik akan berakhir.

Covid tidak akan hilang sepenuhnya, tetapi akan menjadi penyakit endemik yang terkawal yang akan orang ramai akan belajar untuk hidup bersamanya, seperti selesema, kata mereka.

Ia pada asasnya akan “menjadi sebahagian daripada kita,” kata Andrew Noymer, ahli epidemiologi di Universiti California.

Pakar penyakit berjangkit AS terkemuka Anthony Fauci juga berkata peningkatan vaksinasi tidak lama lagi akan membawa dunia ke tahap di mana Covid “mungkin kadang-kadang naik dan turun mengikut latar belakang keadaan, namun ia tidak akan menguasai kita seperti apa yang berlaku sekarang”.