- Iklan -
Berita

Purata murid ke sekolah lebih 85% sejak 3 Oktober, kata menteri pendidikan

Menurut Radzi, pembukaan semula sekolah diterima baik oleh ibu bapa dan murid selain membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid terhadap mata pelajaran mereka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Guru sekolah membuat imbasan suhu ketika kehadiran pelajar sambil memantau SOP di pintu masuk, pelajar wajib membuat pemeriksaan suhu sebelum memasuki kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang.
Guru sekolah membuat imbasan suhu ketika kehadiran pelajar sambil memantau SOP di pintu masuk, pelajar wajib membuat pemeriksaan suhu sebelum memasuki kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang.

Purata trend kehadiran murid ke sekolah melebihi 85% semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka bagi tempoh 3 Oktober hingga semalam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata perkara itu menunjukkan pembukaan semula sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid selain membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

“Secara keseluruhannya, bilangan sekolah yang sedang beroperasi (di seluruh negara bagi tempoh 3 Oktober hingga 29 November) adalah 10,060 sekolah dan melibatkan seramai 4,385,281 murid.

“…semua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah KPM (kementerian pendidikan) di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah beroperasi sepenuhnya melibatkan 8,166 sekolah.

“Kelantan dan Sarawak yang berada dalam Fasa Tiga PPN pula, sebanyak 1,894 sekolah telah beroperasi melibatkan 1,526 sekolah rendah dan 368 sekolah menengah,” katanya.

Radzi berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober lepas serta penerimaan guru, murid dan ibu bapa mengenai perkara itu.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai perancangan KPM untuk semua sekolah beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran, beliau berkata ketika ini kehadiran ke sekolah tanpa penggiliran dilaksanakan untuk murid kelas peperiksaan sekiranya lebih 90% murid kelas peperiksaan di sesebuah sekolah itu telah divaksin.

Beliau berkata ketika ini, murid kelas peperiksaan di semua sekolah di seluruh negara dibenarkan hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran kecuali empat sekolah yang belum mencapai vaksinasi 90%.

“Untuk murid lain, kita sedang bekerjasama rapat dengan kementerian kesihatan (KKM) untuk melihat kohort manakah yang boleh dimasukkan berikutnya tanpa penggiliran.

“Tentang jangka masa itu, sebaiknya di peringkat KPM inginkan mereka kembali ke sekolah tanpa penggiliran secepat mungkin, namun kita sentiasa ambil kira faktor kesihatan dan berbincang dengan KKM terutama dalam konteks varian baru Covid-19,” katanya.