- Iklan -
Berita

Projek pembangunan hartanah semakin hilang identiti Malaysia?

Semakin banyak projek pembangunan hartanah menggunakan nama asing berbanding nama tempatan, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada nama tempatan tidak mempunyai nilai.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perunding hartanah berkata penggunaan nama ala barat dalam menamakan projek hartanah atau sesebuah lokasi baru dilihat sebagai usaha pemasaran untuk mengkomersialkan kawasan tersebut.
Perunding hartanah berkata penggunaan nama ala barat dalam menamakan projek hartanah atau sesebuah lokasi baru dilihat sebagai usaha pemasaran untuk mengkomersialkan kawasan tersebut.

Trend menggunakan nama ala barat dalam pembangunan projek hartanah terutamanya di kawasan Lembah Klang menimbulkan persoalan tentang kemungkinan identiti Malaysia semakin terhakis.

Walaupun pembangunan merupakan satu perkara yang positif – kerana ia menandakan negara sedang membangun pesat dan menuju ke arah status negara maju – ramai juga yang tertanya-tanya mengapa perlu diberikan nama asing.

Malah, terdapat juga lokasi yang pada asalnya menggunakan nama tempatan seperti Kampung Kerinchi dijenamakan menjadi Bangsar South – yang kemudiannya ditukar semula kepada nama asal ekoran bantahan penduduk.

Perunding hartanah, Natasha Gideon, berkata penggunaan nama ala barat dalam menamakan projek hartanah atau sesebuah lokasi baru dilihat sebagai usaha pemasaran untuk mengkomersialkan kawasan tersebut.

Beliau berkata, pemberian nama kawasan yang elegan sememangnya mempunyai impak terhadap permintaan pembeli, namun ia bukan penentu kepada nilai hartanah di kawasan tersebut.

Contohnya, nilai purata rumah di kawasan Kampung Kerinchi adalah RM1,000 satu kaki persegi pada, meningkat kira-kira tiga kali ganda berbanding RM300 pada 2018.

“Nilai hartanah ditentukan berdasarkan pembangunan dan lokasinya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika terdapat penambahan melibatkan pembinaan infrastruktur dan kemudahan seperti stesen pengangkutan awam, pastinya ia akan melonjakkan nilai.”

Antara lokasi yang dilihat mempunyai projek pembangunan hingga memberi impak terhadap identiti kawasannya termasuklah Mont Kiara di Segambut, KL East di Taman Melawati, Coalfieds di sebahagian kawasan Sungai Buloh dan Setia Ecohill di Semenyih.

Namun begitu, terdapat juga kawasan elit yang menggunakan nama tempatan seperti Bukit Tunku di Kuala Lumpur yang menjadi kediaman rumah banglo serta vila mewah.

Menceritakan tentang seorang klien yang pernah berurusan dengannya, Natasha mendedahkan, pertukaran nama Bangsar South kembali kepada Kampung Kerinchi memang mempunyai impak terhadap persepsi pembeli.

“Sebelum ini saya pernah berurusan dengan seorang klien yang ingin membeli rumah di Bangsar South.

“Kemudian dia membatalkan hasratnya selepas mendapat tahu bahawa nama kawasan itu akan bertukar menjadi Kampung Kerinchi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Sariyan, berkata “kegilaan” menonjolkan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris bukan hanya terdapat dalam sektor pembangunan hartanah tetapi dalam kebanyakan sektor lain juga.

Katanya, pemberian nama asing terhadap kawasan yang dibangunkan pemaju hartanah mungkin berpunca daripada kesan perasaan rendah diri terhadap bahasa tempatan dan tanggapan bahawa nama yang diberikan dalam bahasa Inggeris mempunyai nilai yang lebih komersial.

“Mentaliti ‘minda tertawan’ kepada unsur asing daripada bangsa yang dianggap unggul masih meluas dalam kalangan masyarakat.

“Sudah tentu isu meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor hartanah membimbangkan kerana ia kerap dilihat dan perkara ini dikhuatiri akan terus melemahkan bahasa negara,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ditanya sama ada Malaysia sewajarnya mengambil pendekatan seperti wilayah Henan di China yang mengharamkan penggunaan nama asing bagi projek pembangunan, Awang berkata ia tidaklah perlu sehingga ke tahap itu.

“Dasar negara kita tidak sampai mengharamkan penggunaan bahasa asing tetapi utamakanlah bahasa negara dan kemudian paparkan bahasa asing sekadar bahasa sokongan,” katanya.

Awang dan Natasha turut berpandangan supaya syarikat pemaju mengutamakan nama tempatan memandangkan Malaysia mempunyai bahasanya dan identitinya tersendiri.

“Nama-nama tempatan juga mempunyai kualiti unik yang mencerminkan kemewahan,” kata Natasha.

“Keadaan ini memberikan pukulan dahsyat kepada bahasa Melayu dalam jangka panjang apabila imej di bandar tidak menunjukkan imej watan, termasuk dalam soal bahasa,” kata Awang.