Saturday, January 22, 2022

Pembangkang Hungary sambut baik laporan serbuan di Malaysia ketika bantahan berhubung kontrak ventilator meningkat

Ia timbul ketika siasatan melibatkan Vinod Sekhar sedang dijalankan berhubung kontrak jualan ventilator perubatan kepada Hungary.

Other News

Ahli politik dan aktivis pembangkang Hungary mengalu-alukan laporan berita berhubung serbuan pihak berkuasa Malaysia ke atas pejabat Kumpulan Petra yang dimiliki Vinod Sekhar, mengatakan respons tersebut jauh berbeza berbanding ketidakupayaan kerajaan Hungary menyiasat dakwaan ketidakwajaran berkaitan pembelian ventilator perubatan bernilai ratusan juta dolar daripada seorang ahli perniagaan Malaysia.

Janos Stummer, ahli Parlimen pembangkang yang mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negara di parlimen Hungary, melancarkan serangan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Viktor Orban dalam satu hantaran Facebook yang tular memetik laporan MalaysiaNow semalam.

Sementara itu, Tompos Martin, pengkritik lantang kontrak pembelian ventilator oleh Budapest dari Vinod dan merupakan individu yang membuat beberapa dakwaan serius terhadap ahli perniagaan itu bulan lalu, turut memuji pihak berkuasa di Malaysia, membandingkan sikap kerajaan Hungary yang mengambil sikap berdiam diri dengan pertanyaan yang dibangkitkan beliau awal tahun ini.

“Institusi Malaysia lebih teliti daripada kerajaan ini,” katanya ketika membuat respons berhubung serbuan di pejabat yang dikaitkan dengan Vinod baru-baru ini.



Semalam, MalaysiaNow mendedahkan beberapa agensi kerajaan melakukan serbuan ke atas premis Kumpulan Petra diketuai Vinod, seorang ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Serbuan yang dilakukan itu dipercayai merupakan sebahagian daripada siasatan pengubahan wang dan pengelakan cukai.

Ia melibatkan beberapa pegawai dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kumpulan Petra dan Vinod masih tidak membuat sebarang kenyataan mengenai serbuan tersebut.

Pada Jun, MalaysiaNow melaporkan Vinod melalui GR Technologies, sebuah syarikat dengan alamat di Bangsar memperoleh bahagian terbesar kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan ventilator atau alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

Dokumen yang diperoleh MalaysiaNow dari Hungary menunjukkan Budapest bersetuju untuk membayar kepada Vinod sejumlah AS$559,600,000 melalui beberapa akaun bank, yang pada masa kontrak diberikan pada Mei 2020 bernilai hampir RM2.43 bilion.

Hungary yang membeli ventilator daripada pelbagai pembekal mencetuskan kekecohan tahun lalu ketika pandemik Covid-19 memuncak di Eropah selepas ahli politik pembangkang menyelar dan mengecam pemberian kontrak kerajaan itu, menyifatkannya sebagai tidak telus selain turut menyebabkan lebihan bekalan alatan tersebut.

Badan pemantau anti-rasuah Transparency International (TI) di Hungary turut menggesa Hungary untuk mengeluarkan butiran khusus berkaitan kontrak kepada Vinod, menyatakan terdapat persoalan sama ada GR Technologies memenuhi garis panduan ketelusan di negara itu.

Memetik undang-undang mengenai kebebasan maklumat Hungary, Martin menuntut untuk mengetahui sama ada terdapat kaitan antara Vinod dan perdana menteri Orban, selain turut membangkitkan dakwaan mengenai kualiti ventilator yang dibeli kerajaan negar aitu.

Sementara itu, beberapa laman sesawang berita Hungary melaporkan perkembangan terbaru di Malaysia berhubung perkara itu akan memberi beberapa implikasi terhadap kerajaan Orban, yang diserang hebat blok pembangkangnya mengenai kontrak mega pembelian ventilator, di mana ia disifatkan sebagai pembelian peralatan perubatan terbesar oleh sebuah negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Kontrak mega itu juga dijangka bakal menjadi isu utama dalam kempen pilihan raya umum yang dijadualkan tahun depan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles