- Iklan -
Berita

Peguam Zahid persoal pendakwaan rumus sumbangan kepada yayasan hasil kegiatan haram

Menurut peguam Zahid, tiada bukti langsung dari mana wang itu datang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu pihak pendakwaan terkhilaf dalam merumuskan kemasukan sumbangan dalam akaun amanah Yayasan Akalbudi, sebuah yayasan kebajikan diasaskan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, melibatkan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid berkata pengurup wang Omar Ali Abdullah yang merupakan saksi ke-81 pendakwaan tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan perbankan dalam menukarkan wang tunai berjumlah RM5 juta kepada beberapa keping cek sebelum menyerahkannya kepada akaun firma undang-undang Tetuan Lewis & Co.

Hisyam berhujah bahawa bukti daripada Omar Ali bahawa wang berkenaan datang daripada Yayasan Al Bukhary tidak pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Adalah jelas Omar Ali tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan perbankan di bawah undang-undang bank. Dalam hujah yang diutarakan, pihak pendakwaan melakukan beberapa salah tanggapan.

“Tiada bukti langsung dari mana wang itu datang. Salah tanggapan menunjukkan tiada siasatan dibuat,” beliau berkata demikian dalam hujahan balas di akhir kes pendakwaan terhadap Zahid yang berhadapan pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hisyam berkata tindakan pendakwaan yang berdasarkan peruntukan Seksyen 4 (3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan merumuskan bahawa ia adalah aktiviti menyalahi undang-undang, juga tidak berasas.

Menurut pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram, Zahid didakwa mengarahkan pengurup wang Omar Ali untuk menukarkan  RM7,511,250.20  dalam tunai kepada  35 keping cek dan didepositkan ke dalam Yayasan Akalbudi untuk membeli simpanan tetap di Maybank.

Sementara itu, Hisyam berkata pendakwaan juga bersetuju dengan sumbangan saksi ke-78 pendakwaan, Mohd Jimmy Wong Abdullah yang juga pengarah bukan eksekutif MyEG Services Sdn Bhd kepada yayasan itu.

Mohd Jimmy Wong dalam testimoninya berkata beliau mendermakan lebih daripada RM9 juta kepada Yayasan Akalbudi  dengan kerelaan hatinya untuk kebajikan dan bagi tujuan keagamaan dan ia tiada kaitan dengan syarikat MyEG Services.

Dalam hal ini, Hisyam berkata disebabkan pihak pendakwan gagal menunjukkan proses pengubahan wang haram itu berlaku sebagai satu elemen dalam pertuduhan, maka kes terhadap anak guamnya tidak sepatutnya diteruskan.

Zahid, 68, berhadapan 47 pertuduhan – 12 daripadanya pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pendengaran hujahan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.