- Iklan -
Berita

Larang kemasukan atlet Israel, acara kejohanan skuasy antarabangsa di KL dibatalkan

WSF berkata Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia itu dibatalkan ekoran 'beberapa orang atlet tidak dapat bertanding selepas disahkan tidak menerima visa'.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia tidak memiliki sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
Malaysia tidak memiliki sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

Kejohanan skuasy antarabangsa yang dijadual akan diadakan di Malaysia telah dibatalkan, kata badan induk sukan itu selepas tindakan negara tidak mengeluarkan visa bagi atlet skuasy Israel telah mencetuskan kecaman.

Pengecualian atlet oleh Malaysia adalah satu lagi tindakan terbaru negara terhadap Israel yang tidak memiliki sebarang hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu sebelum ini dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan, dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berkata ia “telah dimaklumkan, pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan visa bagi pasukan skuasy Israel”.

Presiden WSF Zena Wooldridge berkata pegawai sukan telah berusaha untuk “mempengaruhi pihak berkuasa tertinggi Malaysia bagi memastikan supaya semua pasukan yang layak mengambil bahagian, termasuk Israel, dibenarkan masuk Malaysia dan bersaing.

“Perkara ini adalah penting bagi WSF agar tiada negara yang ingin bertanding terlepas acara tersebut.”

Persatuan skuasy Israel sebelum ini berkata negara-negara yang menyertai kejohanan di mana Israel dihalang untuk menyertainya adalah negara yang menutup mata terhadap “perkauman dan diskriminasi”.

Persatuan Skuasy Israel berkata ia merancang untuk membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika WSF tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.

WSF berkata keputusan untuk membatalkan acara itu juga turut dipengaruhi oleh penularan varian baru Covid-19 Omicron, yang dikhuatiri boleh menjejaskan perjalanan ke Malaysia.

Kejohanan tersebut dipindahkan ke Malaysia dari New Zealand awal tahun ini, kerana sekatan perjalanan susulan pandemik Covid-19.

Pada 2019, Malaysia telah dilucutkan hak untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia kerana mengancam untuk menolak atlet Israel.

Dan pada 2015, peluncur angin Israel terpaksa menarik diri daripada pertandingan di Pulau Langkawi selepas ditolak visa.

Perjuangan Palestin mendapat sokongan meluas di Malaysia, di mana kira-kira 60% daripada penduduknya terdiri daripada etnik Melayu Islam, dan kemasukan ke negara itu menggunakan pasport Israel adalah dilarang.