- Iklan -
Berita

Kerugian lebih RM700 juta PKNS, syarikat muflis diberi projek cetus kekecohan di DUN Selangor

Menurut Adun Gombak Setia, kerugian terbesar dalam sejarah PKNS itu disebabkan oleh rosot nilai pelaburan membabitkan anak-anak syarikat PKNS berjumlah RM636.6 juta.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut Adun Gombak Setia Hilman Idham kerugian PKNS membuktikan badan itu sedang mengalami masalah penstrukturan asas kerana perniagaan PKNS adalah berteraskan hartanah.
Menurut Adun Gombak Setia Hilman Idham kerugian PKNS membuktikan badan itu sedang mengalami masalah penstrukturan asas kerana perniagaan PKNS adalah berteraskan hartanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Hilman Idham, membangkitkan tentang prestasi kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan projek pembangunan Sungai Klang di atas tanah kerajaan negeri seluas 600 ekar, sekali gus mencetuskan kekecohan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Hilman yang membacakan jawapan bertulis yang diterimanya, memaklumkan PKNS telah mencatatkan kerugian sebelum cukai dan zakat sebanyak RM719.2 juta bagi tempoh berakhir 31 Disember 2020.

Beliau berkata, kerugian terbesar dalam sejarah PKNS itu disebabkan oleh rosot nilai pelaburan membabitkan anak-anak syarikat PKNS berjumlah RM636.6 juta.

“Justeru, apakah punca rosot nilai tersebut? Amat tidak memadai apabila kerajaan negeri atau PKNS menggunakan alasan bahawa pasaran hartanah yang lemah untuk menjustifikasikan kerugian itu,” katanya ketika berucap pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor ke-14 hari ini.

Mengulas lanjut, Hilman berkata pencapaian kajian yang dibuat dalam pelbagai syarikat hartanah yang disenarai di Bursa Malaysia sepanjang 2018 hingga 2020 menyaksikan syarikat dalam bidang itu merekodkan keuntungan dan tidak mencatatkan kemerosotan nilai seperti direkodkan PKNS.

“Saya yakin pastinya syarikat hartanah yang berjaya ini melaksanakan strategi korporat secara berhemah dan teratur serta mengikut tatacara pentadbiran yang mantap bagi mendepani cabaran hartanah dalam keadaan hari ini,” katanya.

Tambah beliau, kerugian itu membuktikan PKNS sedang mengalami masalah penstrukturan asas kerana perniagaan PKNS adalah berteraskan hartanah.

“Jadi kita ingin bertanya adakah PKNS berdepan ‘ancaman semasa’ yang mana kita harus memastikan bahawa kita dapat keluarkan PKNS daripada masalah ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Hilman turut mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor menyerahkan projek pembangunan Sungai Klang di atas tanah kerajaan negeri kepada sebuah syarikat yang mempunyai aset ketara bersih negatif.

Beliau mendakwa, projek itu akan dilaksanakan membabitkan keluasan 600 ekar di sepanjang 56 kilometer jajaran Sungai Selangor.

“Apakah rasionalnya kerajaan negeri serahkan projek pembangunan Sungai Klang kepada sebuah syarikat yang hakikatnya muflis?

“Jangan kita ambil remeh dan lesu terhadap perkara-perkara begini dan akhirnya yang menjadi mangsa dan dikambing hitamkan adalah penjawat awam,” tegasnya.

Namun begitu, isu yang dibangkit Hilman menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa wakil rakyat termasuk Adun Banting, Lau Weng Sang yang turut meminta Hilman mendedahkan nama syarikat tersebut.

Seterusnya, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim menegaskan supaya Hilman menamatkan perbahasannya dan berkata pihak kerajaan boleh menjawab soalan tersebut.

“Kerajaan boleh jawab, saya hendak Gombak Setia tamatkan sekarang,” tegasnya.