- Iklan -
Berita

Ada kemungkinan varian Omicron lebih mudah dijangkiti berbanding Delta, kata Khairy

Namun, setakat ini belum dipastikan sejauh mana tahap 'ganasnya' varian baru tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Jangkitan varian Covd-19 baru B.1.1.529 yang kini dinamakan Omicron, mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta, namun setakat ini belum dipastikan sejauh mana “ganasnya” (virulent) virus itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Apa yang boleh kita lakukan setakat ini adalah meningkatkan intervensi kesihatan awam (pemakaian pelitup muka, penjarakan, jaga kebersihan), menambah baik pengaliran udara, jaga kesihatan tubuh badan dan ambil dos penggalak vaksin apabila ditawarkan,” katanya menerusi akaun twitternya hari ini.

Jumaat lepas Khairy mengumumkan bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk melawat tujuh negara yakni Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe susulan kemunculan varian baru itu.

Menurutnya ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan langkah kawalan dan menjaga sempadan negara, berkuat kuasa esok.

Beliau berkata tiga negara yang melaporkan kes-kes berkaitan Omicron setakat ini ialah Afrika Selatan, Botswana dan Hong Kong.