Saturday, January 22, 2022

Warga Sarawak teruja sambut Krismas tetapi dikejutkan harga tinggi tiket penerbangan

Kenaikan tinggi harga tiket sehingga RM1,200 sehala bermakna ramai antara mereka terpaksa melupakan hasrat pulang bertemu keluarga ketika musim perayaan tahun ini.

Other News

Duduk sendirian di hadapan komputer ribanya di bilik sewa kecil di Kuala Lumpur, Claudia melayari laman sesawang syarikat penerbangan untuk mencari tiket penerbangan paling murah ke Sarawak.

Selama empat tahun, dia tinggal sendirian di ibu negara dan ketika umurnya 21 tahun, dia berpindah dari negeri kelahirannya itu untuk mencari rezeki.

Sejak itu, setiap tahun dia akan menaiki kapal terbang pulang ke Kapit sebanyak dua kali setahun, pertama bagi menyambut Krismas dan kedua menyambut Gawai bersama keluarganya.

Hanya tahun lalu, dia tidak pulang akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan sempadan negeri ditutup dan larangan perjalanan dilaksanakan di Malaysia dan seluruh dunia.

Kini, dengan sempadan dibuka semula dan perjalanan rentas negeri dibenarkan untuk mereka yang divaksinasi lengkap, Claudia cuba untuk pulang.

Namun sama ada dia memiliki peluang untuk pulang ke kampung halaman buat kali pertama sejak Covid-19 melanda awal tahun lalu masih belum pasti.

Harga tiket kapal terbang melambung tinggi sejak kali terakhir dia menaiki penerbangan ke Sarawak.

“Tiket sehala termurah dari Kuala Lumpur ke Kuching untuk seorang penumpang ialah kira-kira RM1,200,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini tidak termasuk bayaran tambahan seperti bagasi daftar masuk dan pengangkutan untuk pergi ke lapangan terbang.”

Claudia masih berusaha untuk mencari penerbangan yang sesuai dengan bajetnya, dia sangat berharap dapat pulang ke Sarawak untuk bertemu dengan keluarganya tahun ini.

“Tetapi harganya tidak masuk akal,” katanya.

“Saya tidak percaya apa yang saya lihat.”

Claudia adalah salah seorang daripada ratusan ribu rakyat Sarawak yang bekerja di luar negeri tu.

Sepertinya, ramai yang ingin pulang menyambut Krismas bersama keluarga namun terhalang berikutan harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi.

Ketika sekatan perjalanan dikuatkuasakan di seluruh negara pada Mac tahun lalu, banyak penerbangan domestik termasuk ke Sarawak dibatalkan.

Walaupun perjalanan domestik kini mulai pulih, wabak Delta yang menyebabkan lonjakan jangkitan baru memberi makna beberapa sekatan perjalanan mungkin akan diperkenalkan semula dan ia boleh memberi kesan besar kepada industri penerbangan.

Operasi penerbangan yang perlahan berikutan lonjakan wabak ini juga turut dilihat sebagai punca kenaikan harga tiket penerbangan.

Bagi menangani isu itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin berkata jawatankuasa pengurusan bencana negeri meluluskan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Sarawak, dari 223 penerbangan kepada 307 penerbangan setiap minggu mulai 11 Disember.

Namun, hakikatnya, sebelum wabak melanda negara, harga tiket penerbangan dari semenanjung ke Sarawak menyaksikan kenaikan harga.

Seperti Claudia, Nicole juga bekerja di semenanjung dan tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman untuk meraikan Krismas.

Lelaki berusia 35 tahun itu berkata, dia tidak menyangka tambang penerbangan yang terlalu mahal akan menghalangnya untuk bertemu keluarga.

Dia memberitahu MalaysiaNow beberapa rakannya sanggup membayar apa sahaja asalkan dapat meluangkan masa bersama keluarga pada musim perayaan kali ini.

Namun, keterujaan untuk pulang ke Sarawak mungkin tidak akan berterusan untuk membuatnya pulang sekali lagi bagi mengundi dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 18 Disember depan.

Ramai anak muda yang bekerja di semenanjung memberitahu MalaysiaNow bahawa mereka tidak akan memohon cuti untuk pulang ke Sarawak bagi hari pengundian pada 18 Disember.

Mereka juga turut menyatakan tidak yakin undi mereka akan membuat sebarang perubahan ketara.

“Nampak macam buang masa,” kata Sasha yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di Kuala Lumpur dengan menjual kek lapis Sarawak.

“Lebih baik saya duduk di sini dan cari wang lebih banyak, yang boleh bantu saya beli barangan untuk keluarga di Kuching sebelum saya pulang berhari raya.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles